Wanita Ini Cipta Sejarah Dan Bagaimana Berjaya Memegang Segulung PhD Di Usia 23 Tahun

Trending

Wanita Ini Cipta Sejarah Dan Bagaimana Berjaya Memegang Segulung PhD Di Usia 23 Tahun

“Beauty With Brain”, itulah ungkapan emas yang sesuai untuk wanita ini. Namanya tercatat antara penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) termuda iaitu pada usia 23 tahun di bawah Pusat Pengajian Sains Fizik.

Advertisement

Dr Naja Nadiera Omar, seorang graduan PhD Universiti Sains Malaysia (USM) tidak menyangka rezekinya untuk menyambung pengajian dalam akademik hingga ke peringkat tertinggi pada usia ini, namun bersyukur laluannya dipermudahkan oleh-Nya.

Sudah tentu ramai yang berasa kagum dengan pencapaiannya ini.

Tidak kurang juga yang menjadikan Dr Naja sebagai sumber inspirasi dan mahu mengikut jejak langkahnya, apalagi selepas kisahnya menjadi tular. Apa agaknya rahsia di sebalik pencapaian wanita muda ini?

Program Fast-Track

Tatkala rakan seusia biasanya baru selesai mahupun sedang dalam pengajian ijazah sarjana muda, skrip kecemerlangan Dr Naja Nadiera Omar pula berbeza apabila berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 23 tahun. Beliau juga pemegang PhD termuda sempena majlis Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.

Minat mendalam membuat kajian telah mendorong Naja menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD dalam bidang pengkhususan Biofizik.

“Saya tak ambil sarjana. USM ada program fast-track di mana mahasiswa dapat keputusan kelas pertama boleh terus sambung PhD. Semasa di semester akhir ijazah, pihak Rancangan Fizik Perubatan USM ada panggil saya menerangkan mengenai program ini dan beri sokongan untuk saya mengikutinya.

“Masa tu juga saya diberitahu dicalonkan penuntut terbaik Fizik Perubatan bagi mendapat Gold Medal Award USM. Dari situ, rasa semangat ambil peluang ini,” terangnya.

Anak kedua daripada empat beradik ini juga menganggap, ia rezeki dari ALLAH ditetapkan dalam hidupnya.

Awalnya, Naja sebenarnya berhasrat menamatkan pengajian Graduate on Time (GOT). Tidak terfikir mampu menggenggam PhD pada usia semuda ini.

“Saya rasa semua yang buat PhD ada sasaran sama. Alhamdulillah, dapat juga GOT. Pencapaian tu lebih bermakna bagi saya.

“Sebenarnya, habiskan PhD di usia muda lebih senang sebab saya tiada komitmen lain. Syukur pencapaian ini, walau saya tak apply untuk jadi record holder MBOR pun,” katanya.

Dugaan Dan Cabaran

Cabaran makin besar untuk ke peringkat pencapaian akademik tertinggi, Dr Naja tidak menafikannya apabila sebelum dan pada permulaan fasa PhD tidak mendapat biasiswa.

“Contohnya MyBrain tidak menaja penuntut program fast-track, pengambilan penuntut untuk biasiswa USM belum dibuka, malah saya juga tiada geran.”

“Cabaran semasa PhD pula peralatan kajian kurang mencukupi, sebab kajian saya ini boleh dikatakan agak baru di Fizik USM. Walaupun banyak dugaan, saya ingat bahawa saya bawa harapan ibu abah dan pensyarah yang dah banyak membantu. Lagipun fikir, ini jalan ALLAH untuk saya buat terbaik,” katanya.

Beliau juga terpaksa berdepan kesukaran apabila sesetengah peralatan kajiannya perlu dikongsi dengan penuntut lain, bagi mengatasinya Naja mengorbankan masa malam dan cutinya untuk menjalankan kajian supaya tetap GOT.

Apabila sesetengah peralatan lain pula tidak diperoleh, Naja mencari inisiatif lain, misalnya di syarikat atau institusi yang mempunyai peralatan tersebut, membeli dan setup peralatan sendiri.

“Jadi bagi saya, perjalanan PhD sukar kalau nak dibandingkan dengan ijazah. Waktu ijazah, kebanyakan nota, latihan, pemahaman semua tanggungjawab pensyarah.”

“Tapi waktu PhD, saya kena lebih agresif. Kalau semua nak tunggu saja… tunggu nak guna peralatan dan lain-lain, memang tak boleh GOT lah,” katanya.

Apa pun baginya takrifan kecemerlangan akademik itu berbeza mengikut individu, malah Naja mengakui bukanlah seorang pelajar straight-A’s waktu zaman persekolahannya.

Baginya, untuk berjaya dalam PhD, pandai dan bijak tidak menjamin apa-apa.

“Yang penting rajin, sabar contohnya kalau kajian selama sebulan tiba-tiba failed dan bijak uruskan masa serta menyelesaikan masalah.”

“Impian saya hanya untuk enjoy dengan apa saya buat. Saya tak aim pun nak menjadi PhD holder, well-recognized, atau kerja besar gaji banyak. Tapi alhamdulillah bila dah viral, saya dapat banyak mesej dari kawan-kawan, mahupun tidak dikenali terinspirasi dengan pencapaian saya. Seronok dapat contribute something kepada orang lain,” katanya.

Selari minatnya, buat masa ini beliau bekerja di bahagian penyelidikan (R&D) syarikat keluarganya di Kulim dan masih menunggu jawapan permohonan jawatan pensyarah dengan beberapa universiti.

Niatnya ingin meneroka lagi bidang Fizik dan bercadang untuk mendalami kajian dalam bidang pengkhususan Biofizik.

“Bergelar graduan PhD pada usia muda tentunya menggembirakan dan anugerah itu satu bonus untuk saya melangkah lebih jauh dalam bidang ini. Namun, saya tidak mahu terlalu berpuas hati dengan pencapaian ini kerana sedar ia tidak akan ke mana jika tidak berani keluar daripada zon selesa.”

“Kalau boleh, saya ingin rebut apa jua peluang ditawarkan khasnya berkaitan bidang dipelajari,”, katanya yang sentiasa mendapat sokongan suami, Abdul Maziz Abdul Malik.

Sepanjang tempoh pengajiannya, beliau turut menyumbang penulisan dalam jurnal selain membentangkan hasil penyelidikannya dalam persidangan antarabangsa.

Dr Naja Nadiera antara 6,850 graduan terlibat dalam konvokesyen di USM bermula 28 Oktober sehingga 2 November lalu.

Sumber : Sinar Harian

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...