Kita semua ada kenangan makan di kantin sekolah. Penulis adalah antara pelajar bertuah semasa di sekolah kerana ibu penulis seorang surirumah yang rajin memasak makanan sedap untuk dibekalkan kepada anak-anaknya bagi dinikmati sewaktu rehat. Antaranya bihun goreng, mi hailam dan sebagainya. Namun waktu kita dahulu tidak sama dengan keluarga zaman moden di mana para ibu juga perlu bekerja untuk menampung ekonomi keluarga dan tidak dapat menyiapkan bekal untuk anak-anak.
Oleh itu kebanyakan ibu bapa memberi anak-anak wang saku untuk membeli makanan yang dijual di kantin sekolah. Bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan ialah makanan di kantin tidak sepadan dengan harga jualan makanan tersebut, seperti yang dipersoalkan seorang pengguna Facebook.
Wanita itu yang menggunakan nama Hanizam Hassan mendapati makanan bungkus bernilai RM 2.00 di kantin ‘menyedihkan’serta tidak cukup untuk menampung keperluan nutrisi seorang kanak-kanak yang sedang membesar. Berikut ialah tulisan Hanizam:
Ya Allah. Hanya kau yang tahu apa yang akan saya ceritakan di sini adalah semata-mata ingin meluahkan rasa hiba dan kasihan seorang ibu. Dan demi Allah, tiada langsung niat untuk menganiaya atau menjatuhkan orang. Saya mohon.
Kepada sesiapa yang membaca tulisan saya ini fikirlah sendiri sama ada ianya patut atau tidak berlaku.
Kisahnya, semalam sewaktu rehat kelas Koko, saya menghantar bekal untuk anak saya dan duduk makan di kantin sekolah.
Kemudian datang seorang kawannya duduk pula makan di sebelahnya.
Apa yang saya lihat, cara murid itu makan memang dia tengah lapar sangat. Sedangkan apa yang dimakan (dibeli dari kantin) hanyalah sedikit nasi putih dan sedikit sayur goreng.
Saya tanyakan, berapa harga? RM 2.00, jawabnya seperti hampa.
Sambil menguis-nguis sayur seperti mencari sesuatu. Saya tanya lagi.
Lauk itu saja? Dengan perlahan dia menjawab, ha’ah.
Dan…saya perhatikan selepas dua-tiga kali suapannya mulai perlahan, seakan makan terpaksa.
Saya tiba-tiba jadi sebak yang teramat dan rasa bersalah kerana dalam waktu yang sama anak saya sedang enak menikmati nasi berlaukkan ayam goreng, kari dan sayur.
Diam-diam saya menangis. Toleh pula ke kiri. Seorang lagi murid sedang menikmati nasi putih dengan kepala ikan keli yang diletak sedikit kuah lada kot. Ya Rabbi, luluh hati. Lihat sendirilah kepada gambar: juga RM 2.00.
Saya juga meniaga makanan. Semua orang nak untung, tetapi janganlah sampai begini. Jujur, ikhlaslah.
Kerana mereka bayar dengan duit. Mereka lapar. Walaupun kanak-kanak mereka juga ada rasa dan perasaan. Tak bolehkah mereka dilayan seperti anak sendiri.
Tak kesian, ke? Kita berniaga mencari rezeki untuk keluarga jadi darah daging dan mahukan keberkatan dunia akhirat..
Patutnya brsyukur kerana kita ditakdirkan berurusniaga dengan anak-anak kecil yang sedang mencari ilmu, yang masih suci, yang bersih jiwanya. Ahli-ahli syurga insha-Allah.
Allah SWT beri jalan yang luas untuk kita melabur saham untuk akhirat. Sambil meniaga. Tak nampak ke? Kenapa disia-siakan peluang ini? Lebih kurang kira sedekah.
Rugi sangat ke? Janganlah kerana mereka anak-anak kecil yang tak tau apa-apa, kita ambil kesempatan.
Fikir tak? Anak-anak kecil sepatutnya disediakan makanan yang baik, yang berzat kerana mereka dalam proses membesar sedang belajar. Sesungguhnya Allah itu maha melihat.
Hibanya saya masih terasa hingga ke saat saya sedang menulis ini. Airmata masih juga tak mahu berhenti. Tambahan pula mereka ini kebanyakannya bukan lah anak-anak orang senang.
Ayah ibu sibuk mencari rezeki dan percaya dengan kita untuk makan minum anak mereka semasa di sekolah, tetapi amanahkah kita kalau begini?
Inilah puncanya anak-anak saya setiasa ditemani bekal. Bukan tujuan saya nak mnunjuk pandai jauh sekali untuk mengajar. Kerana saya juga serba kekurangan.
Andai tulisan saya ini menimbulkan rasa tak puas hati mana-mana pihak, jutaan ampun dan maaf saya pohonkan.
Saya cuma meluahkan rasa dan pendapat sahaja.
Perkongsian Hanizam telah mendapat lebih 12,000 likes dan 7,900 shares di mana kebanyakan ibu bapa menyuarakan kebimbangan mengenai pemakanan anak-anak mereka di kantin sekolah. Ada yang berpendapat makanan yang dijual dengan harga RM 2.00 itu seolah-olah sisa makanan.
Namun begitu salah seorang Netizen berpendapat Hanizam sepatutnya membelikan manakan untuk dua kanak-kanak itu bukannya menulis di Internet mengenainya.
Pada pendapat penulis, luahan Hanizam mempunyai asas kukuh. RM 2.00 itu bukanlah terlalu sedikit nilainya, sedangkan nasi lemak yang lengkap dengan telur rebus, timun, ikan bilis dan kacang goreng pun boleh dijual dengan harga RM 1.50 di luar. Penulis masih ingat, semasa di sekolah dahulu nasi lemak RM 1.00 nilainya terdapat sepotong ayam yang bersesuaian saiznya dengan keperluan seorang kanak-kanak (walau penulis tak pernah membelinya).
Diharap pihak sekolah berkenaan memandang serius mengenai perkara ini. Mungkin saiz nasi patut dikecilkan sedikit untuk dimasukkan sedikit bahagian sayur dan lauk supaya makanan itu menjadi lengkap dan seimbang. Apa pendapat anda?-amazingnara.com
Sumber: Hanizam Hassan