Perkarangan kondominium menjadi cemas dan panik susulan penemuan sekujur tubuh wanita berusia 36 tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 18 di Jalan Bukit Kukus, Ayer Itam di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.43 tengah malam.
Lapor Harian Metro hari ini, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong ke lokasi berdekatan Georgetown sejurus menerima panggilan.
“Wanita terbabit dipercayai terjatuh dari tingkat 18 bangunan itu sebelum terdampar di atas bumbung bilik panel suis milik Tenaga Nasional Berhad (TNB)”
Sebagai inisiatif, anggota bomba telah menggunakan tangga daripada jentera bagi menurunkan mangsa.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat dan operasi tamat pada jam 2.27 pagi.
Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga ahli keluarga mangsa tabah. Aamiin.