Wanita yang ditembak mati di Bayan Lepas semalam tidak hamil dan tidak terbabit dalam aktiviti kongsi gelap, kata Ketua Polis Pulau Pinang Chuah Ghee Lye hari ini.
Sehubungan itu, katanya semua khabar angin tersebar yang mengaitkan mangsa berusia 49 tahun itu perlu dihentikan.
Beliau berkata media yang menyebarkan khabar angin seperti itu “tidak beretika”, kerana maklumat mengenai khabar angin itu hanya tekaan semata-mata.
“Mangsa tidak hamil. Pada masa ini, tidak ada petunjuk ia membabitkan ‘kongsi gelap’.
“Kami belum pun mendedahkan nama mangsa kerana warisnya masih tidak menuntut mayat. Ia amalan standard dalam kes seperti ini.
“Beri kami sedikit masa untuk menyiasat,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat polis negeri di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai suami mangsa, Chuah berkata wanita itu berkahwin dengan pemilik pusat hiburan.
Dalam kejadian 5.45 petang semalam, mangsa seorang eksekutif di sebuah syarikat logistik sedang memandu di sepanjang Jalan Pekaka 1 ke Jalan Bukit Gambir apabila 2 lelaki bermotosikal mendekati bahagian bahagian pemandu kereta BMW yang dibawanya dan melepaskan 10 das tembakan.
Wanita itu kemudian merempuh bahagian belakang sebuah Land Rover yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an menyebabkan pacuan 4 roda itu bergerak beberapa meter sehingga menghampiri Lintang Pekaka 9.
Rakaman video saksi menunjukkan tayar belakang kereta itu masih berpusing dengan laju, menunjukkan kaki mangsa tersekat di pedal minyak.
Sementara itu, Chua berkata polis sedang mendapatkan maklumat daripada kamera CCTV di kawasan berhampiran untuk mengesan penembak.
Beliau juga meminta saksi yang mempunyai rakaman video insiden itu dapat menyerahkannya ke balai polis berhampiran atau hubungi 019-444-6521.
Sumber : FMT