Kejadian ngeri menimpa seorang wanita apabila dia terpaksa menahan sakit tiga jam sebelum diselamatkan dari terjatuh gaung kira-kira sedalam 20 meter ketika mendaki bukit di Pulau Mawar, Tanjung Resang, Endau, pagi tadi.
Asrul Ahmad selaku Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Endau PBK II berkata mangsa berusia 51 tahun dipercayai patah kaki.
Mangsa dikatakan mula mendaki bukit bersama sebelas rakannya pada jam 7 pagi sambil ditemani seorang malim gunung.
“Ketika sedang mendaki, mangsa tiba-tiba terjatuh. Mangsa cuba diselamatkan oleh rakan-rakannya namun gagal, sebelum akhirnya mereka menghubungi bomba pada 8.36 pagi”.
Tambah Asrul, seramai 12 anggota bersama dua jentera dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat, namun mereka berdepan dengan beberapa kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana keadaan tempat yang curam selain perlu melalui kawasan paya bakau.
“Bomba mencuba beberapa kaedah untuk mengeluarkan mangsa termasuk menggunakan alat pengusung dan rentetan itu, mangsa akhirnya dapat dikeluarkan daripada gaung pada jam 11.14 pagi dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan”. – BERNAMA