Wanita Dedah ‘Permainan’ Wang Segera Instafamous Bagi Review Berbayar

Trending

Wanita Dedah ‘Permainan’ Wang Segera Instafamous Bagi Review Berbayar

Bermodalkan wajah, solekan, filter pada aplikasi kamera telefon, ramai yang berjaya mengumpul pengikut sehingga beratus-ribu orang di Instagram. Setelah mengumpul ramai pengikut, ada yang mengambil kesempatan untuk membuat perniagaan pengiklanan, iaitu memuat naik ‘review berbayar’ atau paid review buat mana-mana peniaga dalam talian yang ingin mengiklankan produk atau perkhidmatan mereka.

Bagus, gunakan kesempatan ini untuk tambah pendapatan. Bagaimanapun, perkara yang melibatkan duit, selalunya akan ada unsur tamak yang terlibat.

Advertisement

instafamousNurulbadiah Lai, seorang pengguna Facebook mendedahkan metodologi ‘ketamakan’ personaliti yang ramai pengikut di Instagram bagi mengambil kesempatan pada peniaga yang ingin beriklan dengannya untuk mendapatkan wang segera. Ikuti tulisan beliau:

Mula-mula, RM 500 satu review

Tak ada niat nak kecam sesiapa yang buat review berbayar di Instagram. Tak ada benda percuma dalam dunia ni, sebagai penulis blog pun dulu-dulu masa rajin kemaskini buat entri berbayar juga (harga saya munasabah ya). Sekarang tak buat sebab dah malas nak kemaskini entri.

Berurusan dengan seorang Instafamous untuk review perniagaan kecil-kecilan saya yang akan dilancarkan tak lama lagi (InsyaAllah).

Jadi ini sebutharganya.

RM 500 untuk satu review. Bagi gambar, maklumat, ayat sendiri dan dia akan muat naik (harga okay bagi saya).

Itu muat naik yang normal. Kena tunggu giliran saya. Kemudian saya dapat tarikh untuk review. Ianya ialah pada hujung Disember 2016 sebab slot dah penuh katanya (nampak tak banyaknya orang review dengan dia? Alhamdulillah pendapatan segera—syukur Instagram dia ramai pengikut kan?).

Sekiranya okay, boleh buat deposit.

Wow lagi empat bulan giliran saya. Oleh itu, ia tak okay untuk saya kerana saya bercadang untuk lancarkan pada hujung bulan Ogos atau awal September.

Slot sudah penuh. Ada caj tambahan jika mahu potong giliran!

Jadi saya jawab, okaylah, saya tak jadi sebab saya nak review dalam bulan September.

Kemudian dia beri sebutharga kedua.

Nak potong senarai menunggu boleh.

Dua minggu dari tarikh tempahan : RM 800

Sebulan- RM 6xx

Dua bulan – RM 4xx

Jadi saya fikir-fikir, okaylah. Saya ambil tiga minggu dari tarikh pembayaran.

Harganya ialah: RM 500 (caj) + RM 750(caj potong giliran)

Jumlah: RM 1250 untuk satu review (deposit: RM 500)

Kemudian saya diberi tarikhnya.

Sudah bayar caj potong giliran, masih tiada kekosongan.

Hari ini saya terima e-mel.

Dia cakap tarikh yang dia beri pada saya itu tak ada kekosongan. Aik, kenapa tiada kekosongan?

Dia cakap slot itu sudah penuh kerana ada orang lain yang potong giliran hendak review awal dan bayar RM 1,000 untuk review pantas. Dan dia mahukan tarikh dan waktu tersebut. Apa benda!

Kemudian dia kata, okay, dia akan review pada tarikh itu tetapi pukul 2.00 pagi. Itu saja yang ada kekosongan katanya.

Tambah lagi RM 200 jika masih mahu potong giliran.

Saya tak setuju. Saya cakap bagaimana, ya ? Kalau macam itu dia akan bagi saja mana-mana tarikh yang kosong. Saya kata bila? Bila ada slot kosong. Habis tu macam mana dengan RM 750 saya kena bayar untuk potong giliran? Dia cakap kena bayar juga sebab dia akan review awal dari tarikh sebenar (hujung Disember) tapi dia tak pasti tarikhnya.

Saya kata saya nak tarikh spesifik, boleh ke? Dia cakap tambah RM 200 untuk pilihan tarikh sendiri dalam minggu tersebut.

Potong giliran : RM 750 + RM 200?

Sakit hati, weh.

Saya beritahu kalau kena tambah RM 200, baik saya review pada tarikh saya dah tempah.

Dia cakap kalau review pada tarikh sama yang saya tempah, tapi waktu selain 2.00 pagi, dia caj RM 300 (sebab katanya kena sailang giliran orang lain)

RM 500 (caj review) + RM 750 (caj potong giliran) + RM 300 (caj abah dia!)

Binatang sungguh rasa!

Jadi saya cakap tak apalah, saya tak jadi reviewlah macam itu.

Kalau tak jadi bayar review, deposit tidak dipulangkan, okay?

Kalau tak jadi tak apa, tapi deposit tak boleh dipulangkan semula. Baca kan terma dan syarat hari itu?

Okaylah. Muka cantik, nampak baik, pengikut ramai. Duit juga yang awak pentingkan.

Jadi sekarang, bila baca-baca balik kapsyen-kapsyen pada gambar–kejayaan saya–usaha saya–bila dapat beli macam-macam kemudian cakap penat lelah usaha saya selama ini, rasa macam nak muntah. Usahalah sangat.

Saya tak kisah soal caj untuk review, saya tahu ada lagi mahal. Tetapi nampak tak permainan itu? Permainan yang nak dapat duit segera. Kata tak ada tarikh yang kosong, tapi bila berunding ada pula kosong. Tetapi setiap kali kosong ada caj sekali. Yang angin tu siap dia sailang giliran saya atas alasan ada orang bayar dia RM 1,000 untuk potong giliran dan saya kena cari tarikh lain.

Sekian luahan sakit hati..

P/S: Saya dapat semula selepas berbalah dan kata jangan main kotor dengan saya atau saya viralkan awak!

Hahahah. Tutup kes.

Jangan jadikan duit itu tuhan.


Enggan dedahkan siapa sebenarnya Instafamous itu

Peringatan: kawan-kawan tolong jangan sebut mana-mana nama di komen tahu sebab nanti jadi fitnah. Kalau siapa-siapa yang pernah terkena dan agak-agak tahu sapa diam-diam dalam hati saja okay.

Dan saya telah pun berjanji dengan dia untuk tidak sebut nama dia (selepas saya tazkirahkan dan ugut nak viral haha). Dia dah pulangkan deposit saya. Jadi kes tutup. Demi menjaga aib dan periuk nasi dia, saya tak boleh sebut Instagram dia, okay.

Jadi,  jadikan status ini sebagai pengajaran. Kalau siapa pernah terkena selepas ini dengan mana-mana Instafamous, dila pertahankan hak anda.

Begitulah yang terjadi bila ketamakan menguasai diri.

Salah siapa? Mungkin rakyat Malaysia patut menilai semula obsesi terhadap individu yang kelihatan cantik dan memaparkan gaya hidup mewah di Instagram. Bila ramai pengikut, dia mempergunakan kecantikan dan aplikasi filter kamera untuk menambah pengikut dan kemudian mula berbisnes begini.

Tak salah sebenarnya, tetapi bila dia memeras peniaga dan kemudian bermegah mengatakan yang kejayaannya ialah ‘hasil usahanya’ (bersolek dan bergambar), ramai yang kagum.

Sedangkan, dia hanya ‘kelihatan berjaya’ kerana itu imej yang cuba ditonjolkannya. Realitinya…faham sajalah.

Sumber: Nurulbadiah Lai disunting untuk amazingnara.com

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...