Seorang wanita berusia 28 tahun, Lynn Shazeen mendakwa dia dimasukkan ke hospital dan menerima rawatan drip intravena (IV) selepas mengalami jantung berdebar yang dipercayai berpunca daripada tabiat minum teh matcha.
Menurut laporan ‘The Mirror’, Lynn mula mengambil matcha kira-kira enam bulan lalu, sekurang-kurangnya sekali seminggu, sebagai usaha menjaga kesihatan. Namun selepas tiga bulan, dia mula merasakan keletihan melampau, kesejukan badan serta degupan jantung tidak teratur sehingga memaksanya mendapatkan rawatan.
“Saya tak sangka pengambilan matcha seminggu sekali boleh beri kesan sebegini. Bila nampak bacaan zat besi jatuh mendadak, saya yakin ia berpunca daripada matcha,” katanya. Lynn kemudian menghentikan terus pengambilan matcha dan kembali kepada teh biasa.
Bagaimanapun, pakar pemakanan Dr. Emma Beckett meragui kaitan tersebut. Katanya, matcha dalam kuantiti sederhana biasanya tidak mendatangkan masalah, sebaliknya isu kekurangan zat besi dalam kalangan wanita muda lebih kerap berlaku akibat diet ketat atau kehilangan darah ketika haid.
“Yang penting, elakkan minum teh ketika mengambil makanan atau suplemen tinggi zat besi,” jelasnya. Dr. Beckett menambah, teh masih minuman sihat dan orang ramai tidak perlu takut untuk menikmatinya hanya kerana kes seperti ini.