Sejak semalam, kisah Yaya Kuih Bulan, atau Haziqah Nurul Huda Harun, 23, yang didakwa oleh seorang wanita telah merampas suaminya dengan berkahwin di Thailand, menjadi tular.
Pelbagai cerita tidak enak mula dikeluarkan. Yaya bagaimanapun menafikan dakwaan wanita itu yang menggunakan nama Hanna Baa di Facebook, berkata semuanya hanya fitnah.
“Semua fitnah.” – Yaya
Pada 6 Januari 2020, dia mengatakan tidak berkahwin di Thailand dengan suami wanita itu seperti didakwa, sebaliknya dia sekeluarga berada di hospital kerana melawat anak saudaranya yang sedang sakit:
Saya tidak pernah berkahwin dengan sesiapa dan semua dakwaan dibuat di Facebook (FB) itu adalah fitnah.
Saya reda dengan ujian Allah. Allah ada bersama saya. Insya-Allah, Allah permudahkan segala urusan saya hendaknya.
Tiada alasan untuk saya berkahwin di Thailand seperti didakwa kerana ayah iaitu wali sah dan ibu sentiasa bersama saya 24 jam. Saya tidak boleh memandu dan jika ke mana-mana mesti bersama ayah.
Pada 6 Januari 2020 yang didakwa kononnya tarikh perkahwinan saya bersama lelaki itu di Thailand, ia tidak benar kerana pada hari itu saya sekeluarga berada di Kuantan kerana anak saudara dimasukkan ke hospital.
Yaya berkata, dia tidak ingin mengulas lanjut mengenai fitnah dilemparkan terhadapnya dan berharap kebenaran di sebalik semua dakwaan itu akan terjawab kelak.
Terserah kepada netizen jika berterusan ingin menghukum dan mengecam saya kerana fitnah itu. Saya yakin berada di pihak yang benar.
Cukup sekadar mereka tahu, saya masih bujang dan tidak bercinta dengan sesiapa, jauh sekali berkahwin dengan suami orang.
Bagaimanapun, Hanna mendakwa dia mempunyai bukti bahawa Yaya telah berkahwin dengan suaminya. Katanya kepda Harian Metro:
Saya tahu apa yang saya buat. Sebelum saya memuat naik status itu, saya sudah fikir sedalam-dalamnya dan mendedahkan ia kerana mahu orang tahu hal sebenar.
Saya tidak mahu ulas panjang kerana saya ada bukti dan akan panjangkan isu ini (bawa ke mahkamah) kerana dia menuduh saya memfitnahnya.
Selain itu saya mahu membuktikan saya di pihak benar.
“Sudah tawar hati.”
Selain itu, Hanna juga memaklumkan sudah memfailkan perceraian ke atas suaminya dan melantik peguam.
Saya tidak mahu memikirkan hal ini kerana hati saya sudah tawar. Hubungan dengan suami pun dingin terutama selepas pendedahan itu.
Dia juga sudah puas menasihati suaminya dan Yaya berkenaan hubungan mereka dan kini hanya menyerahkan semua urusan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.
Di sebalik semua ini, terdapat juga cerita oleh Netizen mendakwa Yaya tidak membayar gaji pekerja sehingga pekerja tersebut terpaksa membuat tuntutan di mahkamah dan meminta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) campur tangan kerana Yaya sebagai majikan tidak mencarum ke akaun KWSP pekerjanya.
Netizen tersebut turut mendakwa Yaya sebenarnya sudah boleh berjalan sebelum ke Makkah. Dia dikatakan tidak lumpuh sepenuhnya, sebaliknya hanya lumpuh sebelah kaki.
“Satu Malaysia Kena Tipu.”
Yaya juga didakwa enggan menerima sijil cuti sakit pekerjanya, dan memotong gaji pekerja yang sakit serta tidak menanggung kos perubatan pekerjanya itu.
Kesahihan dakwaan-dakwaan ini bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Perkongsian Hanna Baa mengenai Yaya kini sudah mendapat lebih 43,000 tanda suka dan 45,000 perkongsian. – amazingnara.com