Dilaporkan seorang wanita mengalami kecederaan apabila terkena libasan sabit ketika cuba untuk meleraikan pergaduhan antara bapanya dan jiran mereka di Taman Permatang Indah, Bukit Mertajam, petang semalam.
Memetik laporan Berita Harian, wanita berumur 27 tahun itu melihat pertengkaran mulut antaranya bapa dan jiran lelaki mereka di hadapan laman rumah mereka.
Asisten Komisioner Shafee Abd Samad selaku Ketua Polis Daerah Seberang Perai berkata, jiran mereka itu memegang sebilah sabit lalu mengacukannya ke arah bapa wanita berkenaan.
“Tidak hanya berdiam diri, mangsa cuba menghalang jirannya namun dia pula yang cedera di bahagian dahi sebelah kiri kerana terkena sabit berkenaan.”
Siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak sehingga berlaku pertengkaran mulut.
“Jiran lelaki terbabit tidak berpuas hati dan memarahi bapa wanita itu kerana air basuhan najis burung merpati didapati masuk ke kawasan rumahnya”
Tidak berakhir di situ, suspek kemudian melarikan diri dan wanita berkenaan pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.
Susulan itu, polis telah merampas sebilah sabit dan sedang mengesan suspek yang melarikan diri. Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.