Seorang wanita berusia 41 tahun dan rakan wanitanya yang berperwatakan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas dua pertuduhan mendera anak perempuan kandungnya sendiri.
Mangsa berusia 13 tahun dan kejadian berlaku sejak Julai lalu bagaimanapun kedua-duanya, K. Subatradevi dan G. Sasikalah, 34, mengaku tidak bersalah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Subatradevi didakwa menganiaya anaknya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan pada muka, dahi, kepala, tangan dan siku kiri pada jam 11.30 pagi 1 Ogos lalu.
Manakala pertuduhan kedua pula, dia didakwa membuat perbuatan yang sama yang mungkin menyebabkan kecederaan di bahagian depan badan pada jam 12 tengah hari Julai lalu.
Sasikalah pula berdepan satu pertuduhan mendera yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada muka dan kepala pada 31 Julai lalu jam 11 pagi.
Subatradevi dan Saikalah bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran dan mereka berdua didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Blok H, Flat Paya Nahu 1, Sungai Petani.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Subatradevi diikat jamin RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin manakala rakannya dibenarkan jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan mendekatinya.