Hari ini, wang tunai melebihi RM169 juta yang didakwa milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Hakim Suzana Hussin membuat perintah agar wang tunai itu diserahkan kepada kerajaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, berikutan tiada pihak ketiga berkepentingan hadir bagi mencabar prosiding melucut hak harta tersebut.
Menurut laporan, jumlah itu membabitkan pelbagai mata wang iaitu:
- RM14,772,150
- SG$6,132,350
- US$1,461,400
- CHF3 juta (Swiss Franc)
- EUR12,164,150
- JPY363,000,000 (Yen)
- GBP£50,250
- NZ$44,600
- AED34,750,000 (Emirati Dirham)
- AUD352,850
Pada prosiding 8 September yang lalu, mahkamah dimaklumkan bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus yang dinamakan sebagai responden, tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang tunai yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Susulan itu, Suzana memutuskan, mahkamah membenarkan wang terbabit dilucut hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM, selepas kedua-dua responden tiada bantahan dan tiada sebarang tuntutan dibuat pihak ketiga.
Terdahulu, pada 25 Jun lalu, media melaporkan kesemua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam ‘safehouse’ yang didakwa berkaitan dengan Ismail Sabri bakal dilucutkan hak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.