Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menegaskan bahawa kesilapan penggunaan bendera Malaysia dalam pembentangan Laporan Analisis Keputusan SPM 2024 oleh Kementerian Pendidikan (KPM) tidak boleh dipandang ringan dan wajar ada pihak yang bertanggungjawab.
Memetik laporan Sinar Harian, Maszlee berkata insiden itu adalah sesuatu yang ‘memalukan’ dan mencerminkan kegagalan sistemik yang lebih mendalam dalam pengurusan kementerian.
Walaupun kesilapannya kelihatan minimal kerana grafik itu hanya digunakan sebagai hiasan dalam gambar di dalam muka surat laporan dan bukan di muka hadapan, namun kesalahan tetap kesalahan.
Beliau turut menyatakan bahawa kesilapan dalam penerbitan rasmi sebegini mencerminkan tahap kecuaian serta kurangnya disiplin dalam kalangan individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus bahan pendidikan awam.
Jawapannya mudah, kelalaian, kecuaian, sikap tidak cermat dan tidak berdisiplin dalam menjalankan amanah. Dokumen rasmi kerajaan sepatutnya melalui prosedur dan SOP yang ketat serta ditapis pada pelbagai peringkat sebelum diluluskan.
Maszlee menyatakan bahawa semasa beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan, proses semakan yang ketat telah dilaksanakan, melibatkan pemeriksaan dan kelulusan di pelbagai peringkat sebelum sebarang dokumen rasmi diterbitkan.
Jika ia melibatkan isu pentadbiran dan tatakelola, Ketua Setiausaha (KSU) juga akan meneliti.
Setiausaha akhbar (SUA) menteri pula akan menyemak dari sudut naratif, imej dan publisiti, selain pegawai khas akan melihat isi dan grafik. Semuanya bagi memastikan tiada kesilapan, cacat atau kecuaian yang akan menjejaskan imej kerajaan.
Beliau yakin jika amalan semakan ketat seperti ini diteruskan, insiden seperti kesilapan grafik bendera tidak akan berlaku.
Terdahulu Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Khamis berkata tindakan akan diambil ke atas kesilapan berkenaan.
Beliau berkata, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr Aminuddin Hassim sudah diarahkan supaya menyediakan laporan berkenaan.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.