Pensohor media sosial, Ubai dilihat tidak dapat menahan sebak apabila ibu kesayangan, Rohani Jamal memberikan kata-kata akhir sebelum ditidurkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Isnin lalu.
Maklum Ubai, ibunya itu berpesan agar majlis perkahwinannya bersama tunang yang juga penyanyi Shila Amzah pada bulan Ogos ini diteruskan seperti biasa walau apa pun yang terjadi.
Difahamkan, Rohani ditidurkan bagi mengurangkan rasa sakit yang ditanggung akibat penyakit kanser yang dihidapinya.
Semalam sebelum dia ditidurkan, dia pesan suruh saya menjaga diri dan jaga adik dengan baik.
Malah ibu pesan lagi apa pun jadi pada dia, dia mahu majlis perkahwinan kami diteruskan seperti yang dirancang. Saya sedih dan menangis apabila dia berkata begitu.
Ujarnya lagi, dia dan ibu sangat rapat dan sering berkongsi cerita bersama selain sangat teruja apabila Ubai mengumumkan bakal beristerikan Shila.
Dedah Ubai, mentalnya juga sedikit terganggu di antara memikirkan ibu yang sakit dan juga kesibukan menyiapkan persiapan perkahwinan.
Mental saya juga terganggu, saya jadi ‘lost’, majlis pun semakin dekat dan lihat lagi keadaan ibu begini.
Saya harap ibu kuat dan dapat melawan penyakit ini. Doktor juga beritahu akan lakukan yang terbaik untuk kesihatan ibu.
Terdahulu, Rohani telah dimasukkan ke PPUM selepas mengalami pendarahan pada bahagian rahim sejak 8 Julai lalu.
Manakala Ubai dan Shila yang mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu bakal mendirikan rumah tangga pada bulan hadapan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.