Tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meletakkan longgokan buah-buahan di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berpotensi menarik kehadiran gajah dan meningkatkan risiko serangan haiwan liar terhadap pengguna jalan tersebut, petik BERNAMA.
Menurut sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team, Mohd Amir Faizal, perkara itu dikesan hasil rondaan sukarelawan yang menjumpai beberapa longgokan buah sejak 11 Mei lalu di beberapa lokasi sekitar JRTB.
Saya sendiri pernah dihubungi wakil sebuah NGO yang ingin letak buah-buahan di JRTB. Saya sudah beri amaran, tapi dengan bukti bergambar yang diterima, nampaknya amaran itu tidak diendahkan.
Tambahnya lagi, maklumat daripada rakan sukarelawan menunjukkan buah-buahan itu diletakkan pada waktu malam di tiga lokasi iaitu sekitar Titi Gajah, Tugu Peringatan Pembinaan JRTB dan kawasan berhampiran jajahan Jeli, Kelantan.
Terdahulu, Mohd Amir turut berkongsi gambar di Facebook menunjukkan longgokan buah seperti mangga dan pisang di tepi jalan JRTB, laluan yang menjadi habitat gajah, beruang, harimau belang, harimau kumbang, tapir dan lain-lain haiwan liar.
Mohd Amir turut menegaskan perbuatan memberi makanan ini bukanlah satu tindakan yang bertanggungjawab kerana ia boleh mengubah tabiat semula jadi haiwan liar.
Fitrah haiwan liar adalah mencari makan sendiri. Tak perlu kita jadi ‘baik tak kena tempat’ dengan meletakkan makanan. Perbuatan ini menyusahkan pengguna jalan dan memberi risiko bahaya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff memaklumkan bahawa tiada peruntukan undang-undang khusus yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka yang meletakkan makanan di JRTB.
Sebagai langkah pencegahan, pihaknya merancang untuk menambah papan tanda peringatan bagi meningkatkan kesedaran dan memberi amaran kepada pengguna jalan raya agar tidak memberi makanan kepada hidupan liar.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.