Wabak Misteri Bermula Dari Pasar Jualan Haiwan Eksotik Menyebabkan Wuhan Kini ‘Ditutup’ Buat Sementara

Trending

Wabak Misteri Bermula Dari Pasar Jualan Haiwan Eksotik Menyebabkan Wuhan Kini ‘Ditutup’ Buat Sementara

Anda pasti sudah mendengar tentang satu wabak misteri yang  sedang menular dengan serius di China ini. Sebelum ada yang mengaitkan wabak ini dengan virus Influenza yang sedang berlaku di Malaysia, ketahui lah ianya tidak ada kaitan langsung.

Wabak misteri dikenali sebagai Coronavirus ini semakin menular sehingga ke luar China selepas beberapa pelancong yang bercuti ke China membawa pulang virus ini ke negara mereka. Kini, lapangan terbang di Hong Kong, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan beberapa negara lain giat melakukan pemeriksaan pada setiap penumpang penerbangan.

Advertisement

Kes pertama

Pada Disember tahun lalu, beberapa orang dilaporkan jatuh sakit di China dimana hampir majoritinya adalah penjual di pasar menjual makanan laut dan haiwan eksotik. Berikutan jumlah pesakit yang meningkat sehingga lebih 40 orang, pasar tersebut ditutup dan arahan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Pasar tersebut yang menjual makanan laut dan haiwan hidup itu disyaki berlakunya penyebaran kuman yang datang dari haiwan eksotik yang dijual. Mereka yang melancong di Wuhan, China dinasihatkan mengelakkan sebarang interaksi dengan haiwan di sana dan mereka yang dijangkiti.

Dua kematian direkodkan di mana lelaki berusia 61 tahun yang merupakan pengunjung tetap pasar tersebut dan juga lelaki berusia 69 tahun. Mereka yang dijangkiti turut dilaporkan mengalami sindrom demam dan kesukaran untuk bernafas.

Merebak luar China

Virus ini mula merebak ke Thailand dan Jepun selepas rakyat mereka pulang dari melancong ke China. Pelancong Thailand berusia 61 tahun ini memberitahu tidak melawat pasar yang ditutup akibat virus ini. Sebaliknya, dia mengaku melawat ke sebuah pasar yang lain.

Manakala Kementerian Kesihatan Jepun mengesahkan lelaki berusia 30-an dijangkiti selepas lawatannya ke China. Dia bagaimanapun tidak melawat mana-mana kawasan pasar di Wuhan, lokasi tercetusnya wabak misteri ini.

Jika dilihatkan pada penyebaran wabak misteri ini, ianya berpunca dari kuman dan virus dari haiwan yang dijual antaranya seperti penjualan haiwan eksotik. Pakar saintis juga memberitahu virus ini adalah di dalam golongan yang sama dengan SARS yang pernah melanda hampir seluruh dunia satu ketika dahulu.

Wuhan ‘ditutup’

Penyebaran virus yang berlaku dengan pantas ini telah menyebabkan kerajaan China membuat keputusan untuk memutuskan hubungan Wuhan dengan seluruh dunia. Dua kes telah direkodkan di mana pesakit yang dijangkiti mendapat jangkitan daripada mereka yang telah dijangkiti.

Ini telah membuktikan virus ini sememangnya boleh tersebar sesama manusia dengan mudah. Wuhan kini ‘ditutup’ dimana penduduk seramai 11 juta itu tidak dibenarkan keluar daripada bandar tersebut dan tiada sesiapa dibenarkan untuk keluar dan masuk Wuhan.

Mereka yang telah merancang perjalanan keluar Wuhan sempena sambutan Tahun Baru Cina terpaksa membatalkan rancangan mereka. Kerajaan China juga telah menutup lapangan terbang dan stesen keretapi di Wuhan untuk menghalang rakyat mereka keluar dari bandar itu.

Sebelum Wuhan diisytiharkan tutup, ramai penduduk yang cuba untuk lari dari bandar tersebut dan berada di stesen lapangan terbang dan keretapi beberapa jam sebelum larangan itu berkuatkuasa. Sehinggakan mereka sanggup untuk membeli tiket ke mana-mana destinasi asalkan dapat keluar daripada Wuhan.

Sempena sambutan Tahun Baru China ini juga, lebih 2,100 penerbangan dijangkakan berlepas dari Wuhan dan kebanyakan destinasinya adalah di China. Tetapi terdapat 205 penerbangan yang akan berlepas ke luar negara. Antara destinasi penerbangan yang dijadualkan dari Wuhan ke Asia Tenggara ialah Singapura, Indonesia dan Malaysia.

Langkah pencegahan

Setakat ini, kebanyakan negara telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemeriksaan di setiap lapangan terbang. Buat masa ini, tiada lagi vaksin yang mampu merawat virus ini dan saintis masih lagi melakukan beberapa percubaan untuk hasilkan vaksin untuk rawatan.

Manakala, US National Institutes of Health sedang mengusahakan vaksin untuk mencegah virus ini tetapi ianya akan mengambil masa yang agak lama untuk siap sepenuhnya. Orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan dengan mengelakkan berada bersama mereka yang dijangkiti.

Cuba untuk elakkan dari menyentuh muka, hidung dan mata sekiranya berada di kawasan awam. Sentiasa menjaga kebersihan dengan kerap mencuci tangan dengan sabun dan memakai hand sanitizer. Bagi mereka yang mempunyai simptom batuk, selesema dan demam yang berlarutan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan.

Artikel berkaitan: Saintis Mahu Putuskan Sebarang Interaksi Wuhan Dengan Seluruh Dunia Untuk Hentikan Penyebaran Wabak Coronavirus

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...