Penyanyi veteran, Ramlah Ram mengakui terkejut apabila video nyanyiannya menyanyikan lagu Siapa Yang Bersalah tular di media sosial.
Video itu menampilkan perbandingan antara nyanyiannya pada tahun 1991 dan juga persembahan terbaharunya pada Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH 34) yang berlangsung minggu lalu.
Ramlah, 56, berkata dia memang tidak menyangka persembahannya pada malam itu berjaya menarik perhatian netizen untuk mendengar semula lagunya itu.
Sepanjang 35 tahun bergelar penyanyi, saya tidak pernah menurunkan kunci nada atau ‘key‘ setiap kali membuat persembahan. Saya memang menyanyi menggunakan ‘key‘ asal sejak dulu lagi.
Jelas Ramlah, jika turunkan ‘key‘, dia sendiri berasa tidak puas hati kerana sudah terbiasa dengan ‘key‘ asal.
Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu malah berkongsi petua untuk mengekalkan vokalnya dan memaklumkan dirinya begitu menjaga dari segi pemakanan.
Sejak dahulu lagi, saya memang mengelak dari mengambil minuman berais dan bergas.
Ramlah mengakui mempunyai keinginan untuk mengadakan konsert dan mengharapkan impiannya itu bakal menjadi kenyataan suatu hari nanti.