Usahawan fesyen terkenal, Datin Vivy Yusof, akhirnya membuka mulut menjawab persoalan ramai mengenai nasib jenama tudung popular miliknya, dUCk.
Menerusi catatan di blog peribadinya, Sincerely Vivy, beliau mengakui hampir setiap hari menerima pertanyaan tentang status jenama itu yang kini tidak lagi beroperasi.
Setiap hari, saya akan terima mesej mengenai dUCk. Ada yang bertanya tentang statusnya, kenapa laman web sudah ditutup, di mana mahu beli sekarang, ada yang minta saya jual tudung saya kepada mereka, dan sama ada dUCk akan kembali semula.
Jelas Vivy, beliau tidak lagi mempunyai kuasa dalam membuat keputusan selepas Khazanah menjual pegangan kepada pelabur baharu.
Saya sudah tidak lagi terlibat dalam proses membuat keputusan. Sejak Khazanah menjual kepada pelabur baharu, saya hanya tinggal sebagai pemegang saham minoriti dan hilang kerusi lembaga serta kawalan terhadap syarikat.
Menurutnya, keadaan bertambah rumit apabila isu penjualan saham syarikat dibangkitkan di Parlimen dan siasatan SPRM menyebabkan semua akaun dibekukan.
Apabila isu penjualan saham Khazanah dalam syarikat saya dibangkitkan di Parlimen dan SPRM membekukan semua akaun kami untuk tujuan siasatan (ini pengetahuan umum – keluar di semua media), ia seolah-olah membunuh kami terus, kami tidak boleh berniaga lagi. Tamat.
Syarikat tidak dapat bayar sesiapa, tidak mampu bayar sewa menyebabkan pusat beli-belah menutup premis kami, tidak dapat membayar produk baharu sehingga semuanya jatuh merudum… ia ibarat tangan kami terikat dan selepas beberapa bulan, mana-mana syarikat pun dalam keadaan begitu pasti akan mati.
“Jenama Itu Kini Hanya Tinggal Kenangan”
Bagi Vivy, pengalaman tersebut amat menyedihkan kerana beliau terpaksa melihat jenama yang dibina dengan penuh kasih sayang kini terkubur begitu sahaja.
Ia sangat tidak adil. Dan jika inilah realiti yang menimpa usahawan di Malaysia, kita ada banyak perkara untuk difikirkan.
Namun saya terpaksa menerima takdir jenama yang saya cipta dengan penuh kasih dan perhatian kini sudah menjadi sejarah. Ia tempat paling menyakitkan untuk saya berada, iaitu hanya mampu melihat dari luar.
Vivy turut berkongsi bahawa rakan-rakan terdekat antara yang paling awal kecewa dengan penutupan dUCk.
Rakan-rakan baik saya yang paling awal rasa kecewa. Mereka kata, ‘Mana kami nak beli tudung putih sekarang?!’
Beliau pada masa sama menzahirkan rasa terharu dengan sokongan luar biasa daripada komuniti dUCk selama ini.
Ya Allah, sangat luar biasa limpahan kasih daripada komuniti dUCk yang kita bina.
Walaupun jenama itu tidak lagi wujud, ada sesuatu yang menghubungkan kita dan ia akan kekal selamanya. Itu sangat istimewa, dan paling ‘limited edition’ sekali.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.