Sepasang doktor muda yang dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah rumah sewa di Taman Semabok Perdana baru-baru ini, bakal berdepan tindakan tatatertib serius termasuk kemungkinan penamatan perkhidmatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem yang berkata bahawa pihaknya kini masih menunggu hasil siasatan penuh daripada JAIM sebelum sebarang tindakan lanjut diambil terhadap pasangan terbabit yang masing-masing berusia 26 tahun.
Jika siasatan JAIM mendapati berlaku kesalahan, maka Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di sebuah tapak pembinaan di Tambak Paya, hari ini.
Tambah beliau lagi, jika benar berlaku pelanggaran etika dan peraturan penjawat awam, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap pasangan tersebut, termasuk kemungkinan dibuang kerja.
“Tindakan tegas boleh diambil termasuk penamatan perkhidmatan sekiranya terbukti berlaku pelanggaran etika penjawat awam,” jelasnya.
Buat masa ini, menurut Datuk Ngwe, kedua-dua doktor terbabit masih menjalankan tugas dan bekerja seperti biasa di hospital. Ini kerana siasatan oleh pihak berkuasa agama masih berjalan dan belum ada sebarang keputusan rasmi dikeluarkan. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.