Semalam, seorang wanita, Neysa Anwar, telah memuat naik ke Facebook lima keping gambar yang menunjukkan seorang lelaki menunjukkan isyarat lucah kepadanya. Menurut Neysa, lelaki itu memotong barisan kenderaan yang berhampiran sebuah plaza tol, dan apabila dihon, dia keluar menunjukkan isyarat tersebut.
Status itu menjadi viral dan menyebabkan lelaki itu dikecam Netizen dan ada pihak mendakwa orang ramai sepatutnya mendengar cerita kedua-dua belah pihak.
Selepas itu, melalui satu screenshot, lelaki itu yang menggunakan nama East Ramadhani Zainudin di Facebook telah memberitahu rakannya bahawa dia tersilap masuk lorong pada ketika itu dan tidak punya pilihan lain selain memasuki lorong di mana pemandu sedang berbaris panjang. Sebelum masuk ke lorong dan memotong di hadapan Neysa, dia mendakwa telah memberikan isyarat dan mengangkat tangan tanda hormat, namun Neysa masih membunyikan hon dengan panjang.
Namun begitu, seorang pengguna Facebook, Derrick Chan telah menulis di laman Facebook sebuah perniagaan pemanis mulut francais di mana lelaki tersebut didakwa bekerja sebagai seorang Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan, mendakwa dia juga mengalami kejadian yang sama, iaitu lelaki itu memotong barisannya dan apabila dihon, dia menunjukkan isyarat lucah.
Kemudian, pada ruangan komen aduan yang dibuat oleh Derrick, seorang pengguna Facebook lain, Darren Chia, juga mendakwa seorang rakan sekerjanya juga ditunjukkan isyarat lucah oleh lelaki yang sama setelah dipotong secara tiba-tiba oleh lelaki itu.
Sementara itu, pengguna Twitter telah memaklumkan kepada twitter rasmi Polis Diraja Malaysia mengenai lelaki itu, dan Neysa diminta membuat laporan polis supaya polis dapat melakukan siasatan.
@ivyneysa Salam hormat, anda diminta tampil di mana2 balai berhampiran utk membuat laporan agar tindakan lanjut dpt diambil. Tkasih @KBAB51
— Polis Diraja M'sia (@PDRMsia) December 27, 2016
Kejadian ini telah menjadi viral di pelbagai platform media sosial termasuk di Twitter. –amazingnara.com