Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan akan mendermakan separuh hartanya untuk tujuan amal apabila beliau meninggal dunia kelak dan berharap perkara sama dilakukan oleh rakyat Malaysia berusia 70 ke atas yang kaya-raya.
Jutawan itu mengatakan bahawa berbuat demikian akan membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah mampu milik kerana perumahan adalah keperluan asas manusia.
Lapor The Star, beliau turut memberitahu bahawa hasil kekayaannya bukanlah untuk ahli keluarganya sahaja.
Baginya, segala kekayaan yang dikumpul selama ini adalah dari sokongan rakyat Malaysia, konsesi dan lesen dari kerajaan serta pertolongan dari ramai orang selama berkecimpung di dalam bidang perniagaan. Wah baik sungguh hati Vincent Tan.
Tambah beliau lagi, dia juga berminat untuk membina rumah mampu bilik untuk rakyat Malaysia.
Beliau kini mempelawa semua sektor swasta untuk menjual rumah mampu milik dengan julat harga RM250,000 dan RM300,000 untuk pangsapuri seluas 900 kaki persegi di pelbagai pekan dan bandar di Malaysia.
Disoal mengenai hasil kekayaannya, beliau dengan rendah hati mengatakan semua ini beliau sebenarnya bernasib baik kerana banyak mendapat peluang seperti francais untuk McDonald’s dan Starbucks, serta dapat membeli 7-eleven pada harga yang munasabah daripada sekumpulan rakyat Malaysia.
“Adalah wajar saya menyerahkan separuh daripada kekayaan saya kepada masyarakat dan negara. Itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan”
Tan berkata, bagi tujuan itu beliau merupakan penandatangan Giving Pledge yang dimulakan oleh jutawan Amerika Syarikat Bill Gates dan isterinya Melinda serta Warren Buffet.
Beralih kepada topik kerja amal, Tan mengatakan dia telah menjadi penyokong kuat kepada Yayasan Tzu Chi, sebuah organisasi kemanusiaan antarabangsa, dan akan mencurahkan lebih banyak masa untuk tujuannya.
“Keputusan terbaik yang saya buat dalam hidup adalah menjadi vegetarian setelah bertemu (Tzu Chi) Tuan Cheng Yen. Saya merasa lebih sihat secara fizikal, mental lebih peka dan lebih kaya secara rohani”
Sebelumnya, Tan pernah mengejutkan dunia korporat Malaysia baru-baru ini menerusi pelantikan Abdul Jalil Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Berjaya Corporation yang merupakan langkah pertama beliau untuk melepaskan kawalan.
Wah, semoga niat baik beliau dipermudahkan dan dapat memberi kesenangan buat golongan kurang berkemampuan nanti.