Seorang pengguna TikTok tampil meluahkan rasa berang apabila jiran bawah kediamannya telah mengganggu kehidupan peribadi dirinya dan keluarga.
Dalam video tersebut, jiran apartment individu itu yang berada di blok bawah telah memasak di bahagian balkoni dan kesannya telah membuatkan pakaian yang dijemur menjadi berminyak akibat wap yang terhasil daripada aktiviti itu.
Menganggap ia sebagai sesuatu yang menjengkelkan, lantai rumah individu tersebut juga sering berminyak dan telah menimbulkan perasaan tidak selesa.
Kata individu itu, perkara tersebut telah berlanjutan selama setahun dan dia turut berasa hairan dengan sikap pentadbiran kediaman itu yang membenarkan sahaja aktiviti itu dilakukan sehingga mengganggu penduduk yang lain.
Dalam pada itu, individu itu berkata bahawa dia sudah pun bersemuka dengan jiran dan wakil pihak ‘management’ untuk aduan namun tiada sebarang perubahan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen turut mempersoalkan keperluan jiran tersebut memasak di balkoni sedangkan sudah tersedia dapur di rumah masing-masing.
Ada yang beranggapan jiran tersebut mungkin menjalankan perniagaan makanan namun terlupa hakikat hidup berjiran.