Christian, pada mulanya adalah seekor anak singa yang dibeli oleh dua orang pemuda warga Australia, John Rendall dan Anthony ‘Ace’ Bourke’ dari sebuah pusat membeli-belah di Harrods, England pada tahun 1969. John dan Ace menghabiskan masa mereka memelihara anak singa itu serta bermain dengannya sehingga ia berusia setahun, sebelum memindahkannya ke tingkat bawah tanah kedai perabot milik mereka, Sophistocat.
John dan Ace telah mendapat kebenaran untuk membawa Christian bersenam di sebuah kawasan perkuburan gereja dan mereka juga sering membawanya bersiar-siar di tepi pantai.
Lama kelamaan, John dan Ace menyedari yang kos untuk menyara Christian adalah sangat tinggi, serta saiz badannya yang semakin besar menyukarkan ia untuk dipelihara. John dan Ace dengan berat hati membuat keputusan untuk memberikan Christian kepada seorang pemulihara hidupan liar, George Adamson di Kenya untuk dilepaskan di kawasan hutan di sana.
Tidak lama selepas itu, John, Ace dan Christian telah menaiki penerbangan ke Kenya untuk bertemu George. John dan Ace kembali ke London selepas Christian diletakkan dalam satu kumpulan singa, iaitu cara hidup biasa seekor singa liar untuk membiasakan diri dengan kehidupan barunya.
Pada tahun 1972, setahun selepas Christian dilepaskan ke hutan yang diperhatikan oleh George Adamson, John dan Ace datang ke Kenya untuk bertemu dengan Christian. George memberitahu mereka yang Christian kini mengetuai kumpulan singanya sendiri dan tidak mungkin masih ingat dengan John dan Ace.
Walau bagaimanapun kata-kata George itu meleset kerana sebaik saja Christian melihat John dan Ace, dia mengambil masa untuk mengecam dua orang bekas tuannya itu sebelum berlari untuk memeluk bahu mereka seperti sewaktu ia masih di London. Pertemuan semula Christian dengan tuannya telah dirakamkan dalam bentuk video dan masih menyentuh hati berjuta orang dari seluruh dunia di YouTube.
John dan Ace bertemu dengan Christian dua kali lagi pada tahun 1973 dan 1974, namun selepas itu Christian tidak kembali lagi.