Pagi tadi, seorang pelajar berusia 15 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Nur Darleen Dazeera Azhar dipercayai dilarikan dua lelaki menggunakan motosikal di hadapan rumahnya di Jalan Suasana 4/2, Bandar Tun Hussein Onn.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu ketika mangsa sedang menunggu van untuk ke sekolah sebelum dilarikan dua lelaki menggunakan sebuah motosikal yang mana mangsa dikatakan berada di tengah-tengah dua lelaki berkenaan.
Difahamkan, kejadian tersebut dilihat pemandu van dan rakan-rakannya yang berada di dalam kenderaan itu namun tidak sempat berbuat apa-apa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, Nur Darleen bagaimanapun ditemui berjalan kaki sendirian di tepi jalan oleh orang awam berdekatan sebuah pasar raya di Kajang.
Menurutnya, pelajar berusia 15 tahun berkenaan ditemui kira-kira 3.4 kilometer daripada tempat mangsa dilaporkan dilarikan oleh dua lelaki bermotosikal itu.
Pelajar ini dilihat berjalan seorang diri di tepi jalan masih lagi dalam keadaan berbaju seragam sekolah iaitu kira-kira tujuh jam dilaporkan hilang.
Mangsa kemudian telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk diambil keterangan.
Sementara itu menurut satu sumber tidak rasmi kepada AmazingNara, mangsa diculik dua lelaki dipercayai berbangsa Melayu bersenjatakan parang.
Setelah dilarikan menaiki motosikal, mangsa dikatakan dipindahkan ke sebuah kereta dan dibawa ke sebuah rumah.
Bagaimanapun, penculik dipercayai telah melepaskan Darleen apabila mendapati berita mengenai pelajar itu menjadi viral di media sosial.
Polis sedang menyiasat motif kejadian dari segala aspek, termasuk dendam. –amazingnara.com
Sumber tambahan: Utusan