April 16th, 2014

Sebelum ini, kita telah mendengar pendapat Wardina Saffiyah Fadhlullah Wilmot yang menyeru para ulama Malaysia mengkaji ceramah yang diberi oleh Ustaz Don Daniyal menggunakan akaun media sosialnya.

Dalam status tersebut, Wardina telah merujuk kepada sebuah video yang mengandungi kompilasi klip pendek ceramah lelaki itu yang dikatakan tidak sahih. Hari ini, menurut Sungai Rapat Online, Don telah tampil memberi penjelasan berkenaan video itu, yang didakwanya dihasilkan oleh individu yang tidak dikenali.

Menurut Don, adalah tidak adil dengan memuat naik video yang telah diedit daripada ceramah-ceramahnya kemudian menggunakan video tersebut untuk menghentam dirinya.

Komennya:-

Apakah niat sebenar memuat naik video yang telah diedit itu kemudian menghentam saya? Adakah bertujuan baik atau sebaliknya? Kebiasaannya video sekerat-sekerat ini hanyalah untuk tujuan propaganda.

Beliau disarankan supaya berjumpa ustaz atau alim ulama, bukannya menggunakan ustaz Google, Facebook atau Twitter. Apakah video itu menjadi satu dalil kepadanya untuk menghentam orang lain?

Don turut menyarankan agar pembuat video hadir dalam ceramahnya, bukannya mengambil daripada video sekerat-sekerat supaya wanita itu tahu sepenuhnya apa yang beliau inginkan–itupun jika beliau ikhlas.

Siapa yang buat video sekerat-sekerat ni, apa tujuannya selain daripada untuk tujuan propaganda. Jika mereka ikhlas kenapa perlu edit video tersebut?

Saya juga tidak kata saya betul semua, saya manusia biasa tetapi ada orang yang memilih untuk menghentam jika orang itu tidak dalam ahlinya. Mungkin saya selalu kerap keluar di TV Alhijrah menyebabkan ada orang yang tak senang duduk.

Saya tak kenal pun dengan orang yang buat video itu, takkan saya tak buat rujukan dalam setiap ceramah saya. Sebagai seorang penceramah sudah semestinya saya membuat rujukan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang ceramah.

Saya tak pernah cari pasal dengan sesiapa pun, antara bahan rujukan saya tentang Bani Tamim adalah saya membuat rujukan dengan Ustaz Badlishah.

Pendapat dan teori memang ada di kalangan ulama mengikut hadis-hadis.

Saya teringat satu kisah Juraij yang telah difitnah oleh seorang pelacur yang sangat cantik berkata, ‘Jika kalian menghendaki, aku akan memberinya fitnah.’

Kepada sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ceramah saya sila berjumpa dengan saya dan bukannya dengan melihat hanya pada video yang diedit sekerat-sekerat kerana itu merupakan propaganda untuk menjatuhkan seseorang.

Ini ialah video penjelasan dari Don:-

Setakat ini tiada kenyataan balas dari Wardina. Bersama kita nantikan perkembangannya.

Laporan asal: Sungai Rapat Online

 

 

 


Comments are closed.

Loading...