Video memaparkan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipindahkan dari tempat penahanan ke penjara telah dikongsikan oleh Ahmad Alqurna News beberapa jam yang lalu.
Menerusi rakaman itu, tentera Israel dilihat mengawal ketat dan menjalankan proses sebelum aktivis yang ditahan di perairan antarabangsa sebelum ini, dipindahkan ke Penjara Ktzi’ot di Naqab.
Aktivis dilihat dipakaikan wristband di tangan mereka dan kemudian dibawa naik treler dikawal ketat oleh tentera Israel yang menjadi pengangkutan untuk ke penjara.
Ketika ini, ramai rakyat di negara seluruh dunia sedang membuat bantahan dan protes terhadap penahanan aktivis misi kemanusiaan serta mendesak agar Israel membebaskan mereka dengan segera.
Terdahulu, peguam mendedahkan kesemua yang ditahan tentera Israel telah diberikan layanan zalim termasuklah dinafikan akses air, tandas dan ubat-ubatan asas.
Aktivis diberikan layanan buruk seperti tangan diikat dengan zip dan dipaksa melutut selama berjam-jam dan dituduh sebagai pengganas menerusi kempen fitnah.