Ibu bapa merupakan tulang belakang bagi anak-anak yang sedang membesar dan pastinya sokongan dan kasih sayang oleh kedua-dua ibu bapa adalah sangat penting dalam hidup anak-anak.
Walaupun begitu, tidak semua kanak-kanak bernasib baik dalam menjalani kehidupan kerana ada yang kehilangan ibu bapa di usia muda yang menyebabkan mereka tiada tempat untuk mengadu.
Itulah yang terpaksa dilalui oleh kanak-kanak perempuan bernama Sumayyah yang kehilangan ibunya di usia muda.
Melalui perkongsian video di TikTok oleh pengguna yang dikenali sebagai qasyrious, menunjukkan kanak-kanak itu menangis di pusara ibunya yang telah meninggal dunia.
Menerusi ‘caption‘ kejadian itu berlaku pada 1 Syawal lalu dan dikatakan ibu kepada Sumayyah telah meninggal dunia semasa dia berusia hanya dua tahun.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berasa sebak dengan nasib Sumayyah dan berharap agar kanak-kanak itu terus kuat serta membesar menjadi kanak-kanak yang solehah.