Tempoh reman terhadap pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil dilanjutkan sehari lagi bermula hari ini sehingga Selasa. Perintah tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Hairul Azhar Mohd Ishak.
Farid yang hadir ke mahkamah pada jam 11.30 pagi tadi dengan memakai kemeja denim dan berseluar lokap kelihatan begitu tenang sekali. Malah, Farid masih sempat untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk peminat dan rakan artis yang tidak henti memberikan beliau sokongan dan memberitahu beliau berada dalam keadaan sihat.
Turut hadir untuk memberikan sokongan moral kepada Farid adalah adiknya Fadzil Zahari serta rakan artis Azad Jamin dan Azhan Rani.
Terdahulu, Farid pada Khamis lalu ditahan kerana menampar anggota polis dan menendang orang awam di balai polis. Hasil ujian air kencing mendapati beliau positif dadah jenis ganja.
Farid kemudiannya direman bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perlakuan yang menyebabkan kecederaan.
Selain itu, Farid juga direman mengikut Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.