Satu perkongsian di media sosial baru-baru ini mengundang pelbagai respon daripada warga maya yang rata-ratanya meluahkan rasa tidak percaya terhadap dakwaan seorang bomoh ‘Islam’ yang mampu memindahkan penyakit kanser ke pokok.
Dalam video tersebut, lelaki warga emas itu mengaku mampu menyembuhkan penyakit yang ditanggung pesakit tanpa memerlukan rawatan kemoterapi seperti yang selalu diguna pakai di hospital.
Lelaki yang dikenali sebagai Pak Lang itu dilihat sedang khusyuk memindahkan sakit barah payudara seorang wanita ke pokok.
Selain itu, rakaman turut menunjukkan keadaan pokok yang dilihat berbenjol-benjol dipercayai ketumbuhan kanser para pesakit yang pernah dirawat oleh Pak Lang itu.
Katanya lagi, dia hanya menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran dan ilmu penyembuhan itu telah diperturunkan oleh datuknya sejak 30 tahun yang lalu.
Pak Lang juga memaklumkan bahawa dia hanya mengambil masa 10 minit dan akan ‘menarik’ kanser dari badan pesakit lalu memindahkannya ke pokok.
Kaedah perubatan itu didakwa hanyalah sebagai alternatif dan Pak Lang juga tidak menghalang pesakitnya untuk mencuba cara rawatan yang lain.
“Selalu pesakit akan datang jumpa kami dan proses rawatan akan dilakukan di rumah yang terletak Manjung, Perak. Bayaran yang dikenakan bermula dari RM50” ujarnya lagi.