Enam beranak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu akhirnya ditemui maut apabila kenderaan jenis Proton Saga Iswara yang dinaiki mereka dijumpai tenggelam di dalam Sungai Korok, hari ini.
Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri dan empat anak yang berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun.
Suasana di lokasi kejadian bertukar pilu apabila ahli keluarga tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika melihat jasad mangsa diangkat keluar seorang demi seorang dari dalam kenderaan.
Laporan Kosmo! Online sebelum ini memetik seorang wanita, Nur Adliah Shuhada Ishak, 20-an, yang tidak menyangka bahawa pertemuannya dengan abang dan keluarga pada malam Jumaat lalu menjadi yang terakhir sebelum mereka hilang tanpa sebarang jejak pada keesokan harinya.
Menurut Nur Adliah, abangnya Mohd Azim Ezzat, 32, bersama isteri Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia 9, 8, 7 tahun dan seorang bayi 6 bulan, telah bermalam di rumahnya di Taman Aman, sebelum tidak pulang ke kediaman mereka di Jerlun seperti kebiasaan.
Kehilangan mereka menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga yang bertungkus-lumus mencari dan menjejaki mereka sejak semalam selepas gagal dihubungi.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.