Tular di media sosial Facebook semalam apabila seorang pemilik kenderaan jenis Proton Wira yang dilaporkan kehilangan keretanya itu telah ditemui semula dalam keadaan lerai dan togel.
Kejadian yang berlaku di PPR Batu Muda, Jalan Ipoh itu menyaksikan kereta Proton Wira itu telah dibuka komponen-komponen dalamannya dan dijumpai di hadapan sebuah rumah di Kampung Tandak, berhampiran Hospital Besut, Terengganu, semalam.
Sedutan video penemuan kembali kereta tersebut turut dikongsikan pengguna TikTok @aizatmohdnor dan terlihat jelas di mana enjin, tempat duduk, tayar telah dileraikan dan hanya tinggal rangka sahaja.
Perkongsian tersebut telah menarik perhatian ramai yang geram dengan tindakan penyamun itu yang sanggup membawa lari kenderaan tersebut dari Kuala Lumpur sehingga ke Terengganu hanya kerana ingin mengambil komponen dalaman Proton Wira terbabit.
Difahamkan, pencuri tersebut sememangnya seorang yang profesional kerana suspek dipercayai hanya mengambil masa selama 2 jam sahaja untuk melakukan kerja-kerja khianat itu.
Apa yang lebih mengejutkan adalah apabila suspek itu juga telah bertindak lari meninggalkan dua orang anak kecil di rumahnya setelah menyedari orang awam berjaya menemui lokasi kereta curi terbabit yang berada di kediamannya.
Suspek juga dilaporkan telah dikenal pasti dan siasatan terperinci mengenai insiden tersebut sedang dijalankan oleh pihak polis.