Aryanna Alyssa Dezek yang merupakan sensasi cilik Youtube, telah berjaya memasuki carta Top 10 Saluran YouTuber Paling Ramai Dilanggani di Malaysia, dengan memiliki 2.5 juta langganan.
Menginspirasikan Datuk Seri Siti Nurhaliza
Alyssa berusia 12 tahun berharap agar saluran YouTubenya dapat melonjakkan namanya ke tahap yang sama seperti penyanyi nombor satu Malaysia itu.
“Saya sangat mengidolakan Siti Nurhaliza dan berharap dapat menjadi sepertinya kerana dia merupakan penyanyi nombor satu negara yang sentiasa merendah diri.”
Dia turut menggemari penyanyi Taylor Swift kerana penulisan liriknya yang bagus dan berharap dia dapat menulis lagunya sendiri satu hari nanti.
Alyssa berjaya mengatasi selebriti kontroversi Namewee, untuk menjadi saluran kesembilan yang paling banyak dilanggan di negara ini, satu tangga di hadapan pelatih kecergasan dan penjual durian Jordan Yeoh.
Alyssa bersama ukulele atau gitar kesayangannya sering mendendangkan lagu-lagu popular dari Malaysia dan Indonesia di saluran YouTubenya yang dikenali sebagai Alyssa Dezek.
Merupakan pelakon cilik berbakat
Alyssa juga berkecimpung dalam bidang lakonan melalui drama dan telefilem seperti Kasut Bola Pink, Anak Anak Ibu dan Jangan Sembelih Merah. Dia juga merupakan co-host dalam rancangan kanak-kanak Chikiboom.
Nyanyian cover lagu Tak Tun Tuang, dari penyanyi Indonesia Upiak Isil adalah videonya yang paling banyak mendapat tontonan, iaitu lebih daripada 34 juta.
Semuanya tidak dirancang
Walaupun kini dia memiliki jumlah pengikut yang ramai di YouTube, Alyssa mengatakan bahawa semua itu tidak pernah diimpikan ketika salurannya dibuat lapan tahun yang lalu.
“Kami tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu. Pada mulanya, ada yang mencadangkan video nyanyian saya dimuat naik di YouTube, jadi ibu memutuskan untuk memulakan saluran YouTube untuk saya. Tidak pernah dijangka akan sampai sejauh ini.”
Alyssa mula bermain muzik ketika dia berusia empat tahun, dan minatnya semakin mendalam ketika dia dapat menyentuh ukulele untuk pertama kalinya.
Dia kemudian belajar bermain ukulele melalui video-video tutorial di YouTube. Oleh kerana minatnya yang bersungguh-sungguh ibunya telah menghantar Alyssa ke kelas profesional.
Bakat diwarisi daripada ibunya
Alyssa mengatakan bahawa ibunya Suzanne Dezek telah memainkan peranan besar dalam karier nyanyiannya.
“Ibu saya dulu penyanyi sepenuh masa. Jadi dia yang melatih saya dan mendorong saya untuk menyanyi sepanjang masa.”
Selain menyanyi dan bermain ukelele, dia juga kini belajar bermain gitar dan biola.
Alyssa mengatakan bahawa fokusnya kini adalah untuk mengembangkan lagi saluran YouTubenya ke tahap yang lebih tinggi. Dia ingin mendapatkan 10 juta jumlah langganan untuk memiliki Diamond Play Button dari YouTube.
“Belum ada seorang pun di Malaysia yang telah mendapatnya. Jadi, saya berharap akan menjadi orang pertama.”
Alyssa yang menetap di Kuala Lumpur menyatakan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan juga memainkan peranan dalam perkembangan saluran YouTubenya kerana orang ramai yang ketika ini duduk di rumah mempunyai masa terluang dan inginkan hiburan.
sumber : MalayMail