Sudah pun hampir ke penghujung tahun 2019, nama penyanyi Aiman Tino hangat diperkatakan apabila sekali lagi video lucah seorang lelaki miripnya kembali bertebaran di Twitter. Video berdurasi 45 saat itu, memaparkan individu tersebut melakukan aksi mengghairahkan dalam bilik yang sama seperti kali pertama video itu tular pada Mac lalu.
Menafikan dia adalah lelaki dalam video berkenaan, Aiman menganggap kontroversi yang berulang itu adalah dugaan dalam hidupnya. Tambahnya, isu penyebaran video tidak senonoh melibatkan artis sudah banyak kali berlaku dan mungkin salah satu taktik pihak tertentu mengenakan artis dan pada masa yang sama mengaut keuntungan.
Bagi saya ini dugaan dalam hidup dan perkara sudah berlaku. Lagipun, ini cerita lama dan orang sudah lali. Bukan saya seorang yang kena, ada ramai lagi artis kena perkara sama. Boleh jadi ini adalah ‘scam’ yang mana ada kumpulan tertentu sengaja nak mengenakan artis.
Apabila terjadi sekali lagi pada saya, pemikiran orang kita pun tetap sama. Mereka pun tahu sejauh mana kebenarannya.
Pada masa yang sama, Aiman menafikan komputer riba miliknya yang dicuri selepas kereta Perodua Myvi miliknya dipecahkan di Kampung Melayu Subang, Selangor pada 5 September lalu mengandungi video lucah itu seperti yang didakwa.
Aiman nekad untuk mencari dalang sebenar di sebalik penyebaran video tersebut dan dia akan meneruskan semula laporan polis yang pernah dibuat sebelum ini.