Sekumpulan mahasiswa mendakwa Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, mungkir janji berhubung pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang sebelum ini dijanjikan sebagai agenda Pemuda Pakatan Harapan pada PRU15.
Dalam protes di luar Parlimen pagi ini, hampir 100 mahasiswa Sekretariat Mansuh AUKU mengangkat “kad merah” sebagai simbol kekecewaan terhadap prestasi Adam ketika penyerahan memorandum.
Para mahasiswa turut dilihat membawa patung menyerupai Adam Adli serta Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir, sambil melaungkan kritikan terhadap Adam dan menggelar Zambry sebagai pengecut kerana tidak hadir menerima memorandum tersebut.
“Tadi apabila Adam datang, mahasiswa tiupkan wisel dan angkat kad merah.
“Ini adalah simbolik bahawa kita rasa prestasi Adam sejak dia dilantik menjadi timbalan menteri adalah sangat tidak memuaskan dan mengecewakan sehingga kita melambangkannya dengan kad merah.
“Kalau dalam perlawanan bola sepak, kad merah bermaksud kena keluar. Itulah perkara yang kita mahu tunjukkan,” kata Presiden Liga Mahasiswa Universiti Malaya, Alyaah Hani Anuar, kepada Malaysiakini.
Selepas menerima memorandum berkenaan, Adam berkata beliau akan menyampaikan tuntutan mahasiswa itu kepada menteri dan memberi jaminan bahawa langkah sewajarnya akan diambil untuk mempertimbangkannya.
Adam berkata beliau menerima memorandum tersebut dengan “hati terbuka” dan menegaskan tuntutan mahasiswa adalah tanggungjawab moral semua pihak, bukan hanya kementeriannya.
Namun, kenyataan itu mengecewakan mahasiswa apabila Presiden Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, Brendon Gan, mendakwa Adam seolah-olah mengabaikan prinsip perjuangannya sebagai bekas aktivis.
“Saya amat kecewa dengan timbalan menteri yang dahulu lantang memperjuangkan pemansuhan AUKU, tetapi kini menyatakan ‘sama ada dengan atau tanpa AUKU’.”
Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut hadir bertemu mahasiswa bagi menerima memorandum sama dan mengakui bahawa sudah tiba masanya AUKU dimansuhkan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
