Minat dan hobi setiap individu memang berbeza , ada yang suka modifikasi ekstrem, ada juga yang ‘berkarya’ dengan cara tak disangka.
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok menerusi akaun @nobody05827 yang memaparkan seorang lelaki memandu kereta Perodua Myvi, namun bukan cara pemanduannya yang jadi tumpuan, sebaliknya kerusi pemandu yang ditukar kepada kerusi lipat!
Difahamkan, kerusi fabrik asal telah dicabut dan diganti dengan kerusi lipat berwarna hitam, seperti yang biasa digunakan untuk berkelah atau bersantai di pantai. Lebih mengejutkan, kerusi tersebut dipasang di bahagian pemandu, betul-betul di belakang stereng!
“Macam ni ke healing?” soal lelaki berkenaan di ruangan kapsyen.
Melalui video yang dimuat naik, jelas kelihatan ruang antara brek tangan dan tempat duduk sangat jauh sekali gus menimbulkan persoalan tentang tahap praktikal dan keselamatan konfigurasi itu.
Lelaki tersebut juga memaklumkan bahawa dia turut mencabut kerusi penumpang dan hanya memandu di kawasan taman perumahan, bukan di jalan besar.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan aksi ‘unik’ ini:
“Ni healing sampai ke alam barzakh,” tulis seorang netizen berseloroh.
Namun, tak kurang juga yang mengingatkan bahawa tindakan sedemikian sebenarnya berisiko dan boleh membahayakan keselamatan. Ada pula yang berpendapat kereta itu sebenarnya sedang ditarik oleh lori towing, bukan dipandu sendiri.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.