Laungan azan subuh kedengaran buat pertama kali di Gaza sejak gencatan senjata diumumkan semalam, menandakan detik bersejarah selepas bumi itu diselubungi bunyi letupan dan peperangan selama dua tahun.
Menerusi video dikongsi pengguna TikTok @Youme_385, kedengaran azan dilaungkan dari menara masjid yang masih berdiri teguh, mencetuskan suasana sebak di kalangan warga maya.
Azan dari jantung kota Gaza pertama kali pada tahun 2025 selepas gencatan senjata.
Terdahulu, media melaporkan bahawa gencatan senjata antara rejim Israel dan Palestin mula berkuat kuasa selepas pelan damai hasil rundingan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
@youme_385
Menjengah ke ruangan komen, ramai meluahkan rasa syukur dan sebak, mendoakan keamanan serta kebebasan buat rakyat Palestin.
“Limpahkan pertolongan dan perlindungan kepada saudara-saudara kami di Gaza,” tulis pengguna, Umi.
“Harap keamanan kali ini kekal lama. Janganlah dunia lalai memperjuangkan kemerdekaan Palestin,” tambah @Arigato.kaiju.
Sementara itu, seorang rakyat Gaza, @Rahaffagha, turut berkongsi video di Instagram berdurasi 46 saat yang memperlihatkan dirinya bersama keluarga menangis terharu mendengar azan selepas sekian lama.
“Kami mendengar berita (gencatan senjata), namun masih tidak percaya. Semoga kedamaian ini menjadi pengakhiran buat kami,” tulisnya.
Setakat ini, video tersebut telah meraih lebih 106 juta tontonan, dengan 10.2 juta tanda suka dan 1.2 juta perkongsian, menggambarkan betapa besar harapan dunia untuk melihat Gaza kembali aman.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.