Pelakon dan pelawak terkenal, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet, sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila video dirinya tular di TikTok baru-baru ini.
Dalam video berkenaan, Lan Pet Pet yang kini bertugas sebagai pembantu peguam dilihat mencuit hati para peguam serta petugas media dengan gelagat spontan sebelum sidang media dimulakan.
Kejadian itu berlaku di pekarangan Mahkamah Putrajaya pada Isnin, ketika peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mahu mengadakan sidang media berkaitan isu Titah Adendum.
Meskipun suasana ketika itu agak serius dengan kehadiran ramai wartawan, keletah Lan Pet Pet yang kelihatan bersahaja nyata membuat orang sekeliling terhibur. Malah, ramai pengguna TikTok yang menonton video tersebut mengakui tidak menyangka bekas anggota kumpulan Senario itu kini aktif bekerja dalam bidang guaman.
Netizen turut membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi lucu, ada yang memuji versatiliti Lan Pet Pet yang boleh menghiburkan di layar kaca dan pada masa sama kelihatan serius di mahkamah.