Kucing adalah spesis haiwan peliharaan yang menjadi kesukaan ramai kerana perwatakannya yang manja dan comel juga mampu memberi sokongan moral dan mengurangkan tekanan kepada si penjaga. Namun, tahukah anda kucing juga boleh menghidap penyakit kencing manis?
Siapa sangka yang kucing juga boleh menghidap penyakit sama seperti manusia, oleh itu mereka memerlukan penjagaan yang rapi untuk meneruskan hidup sekiranya menghidap penyakit ini.
Baru-baru ini tular di media sosial TikTok, di mana seekor kucing bernama Belang yang menghidap penyakit kencing manis sedang dirawat oleh penjaganya.
Menurut Amiza Amiruddin, pemilik kucing berkenaan, dia kebiasaannya akan memeriksa kandungan gula dalam darah Belang pada saban hari.
Sekiranya tinggi, Belang perlu dicucuk insulin sama seperti yang dilalui oleh manusia yang menghidapi penyakit diabetes.
“Tiap hari 2 kali sehari akan check sugar dalam darah dia. Disebabkan condition Belang diabetes, dia memang dah kena insulin setiap hari”.
Rata-rata netizen yang melihat video berkenaan terkejut kerana pertama kali menyaksikan kucing diberikan suntikan insulin sama seperti manusia.
“Seumur hidup saya, ni pertama kali saya tengok kucing kena cucuk insulin dan check glucose. Kesian, baru tahu kucing pun boleh kena”- Netizen.
Video ini telah memberi kesedaran kepada penjaga-penjaga kucing di luar sana bahawa haiwan peliharaan juga boleh terkena pelbagai penyakit yang kita tidak sangka.