Seorang penunggang motosikal patah ibu jari tangan kanan selepas merempuh sebuah kereta yang brek mengejut di depannya, semalam.
Dalam kejadian jam 6.58 petang di Jalan Kampung Sireh semalam, seorang perempuan tua berpakaian merah perlahan-lahan melintas jalan tanpa mempedulikan kereta yang datang dari arah kanannya.
Terkejut melihat kehadiran wanita itu, pemandu kereta Perodua Kelisa terus membuat brek mengejut menyebabkan dia dirempuh kereta Proton Wira.
Penunggang motosikal yang berada di belakang juga gagal memberhentikan motosikalnya lalu merempuh belakang Proton Wira tersebut.
Akibat dari kejadian itu, mangsa, Suraya Md Said, anak kepada Pengerusi JKKKP Kampung Cherang Melintang, Tumpat, patah ibu jari tangan kanan dan retak kepala lutut.
Kejadian itu juga dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan kini viral di media sosial mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata menyalahkan wanita tua berkenaan.