Pengasas Gula Cakery, Arieni Adriena tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa dakwaan yang tular mengenai syarikatnya di media sosial sejak kebelakangan ini.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Arieni menjelaskan bahawa tindakan yang diambil terhadap seorang bekas pekerja adalah berpunca daripada isu disiplin selepas individu tersebut didakwa tidak hadir bekerja tanpa sebarang makluman selama tiga hari.
Menurutnya, perkara itu kemudian dibawa ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sebagai sebahagian daripada prosedur biasa syarikat.
“Dalam sesi JTK, individu terbabit mengaku di hadapan pengawai yang dia tak masuk kerja. Di bawah akta kerja adalah pelanggan kontrak. Jadi, tindakan kami di JTK adalah prosedur biasa syarikat untuk menuntut ganti rugi notis dan bukan niat untuk menganiaya.”
Tambah Arieni, bekas pekerja berkenaan pada awalnya diminta membuat bayaran sebanyak RM2,000 sebagai ganti notis. Namun keputusan itu kemudian ditarik balik atas dasar keprihatinan.

Dalam masa sama, Arieni turut menjawab dakwaan yang mengatakan syarikatnya tidak membenarkan pekerja lelaki menunaikan solat fardhu dan solat Jumaat.
Beliau menegaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar dan sangat memberi kesan kepada imej perniagaan miliknya yang berasaskan nilai Islam.
“Isu solat jumaat pula, adalah isu yang paling mengguris hati saya dan pasukan. Saya ingin menegaskan di sini tiada sebarang garis panduan atau arahan berlisan atau mana-mana yang bertulis melarang kakitangan lelaki untuk menunaikan solat fardhu mahupun solat jumaat.”
“Sebagai syarikat muslim, kami sangat menitikberatkan keberkatan dalam rezeki.”
“Tuduhan bahawa syarikat menghalang ibadah adalah satu fitnah yang sangat berat. Kami tidak akan berkompromi dalam mempertahankan maruah syarikat ini.”
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran daripada seorang individu yang mendakwa dirinya bekas kakitangan Gula Cakery. Dalam perkongsian tersebut, individu berkenaan mendakwa syarikat itu tidak membenarkan pekerja menunaikan solat Jumaat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

