Apabila kita berada dalam kapal terbang, pastinya nyawa kita seolah-olah di hujung tanduk. Tiada siapa yang dapat membantu sekiranya berlaku kecemasan, melainkan anak-anak kapal yang ada bersama-sama kita di dalam penerbangan tersebut.
Pagi Ahad semalam, penumpang dalam penerbangan Air Asia QZ535 berdepan dengan detik-detik cemas apabila kapal terbang mereka mengalami kerosakan teknikal sehingga menyebabkan hilang tekanan kabin dan menjunam pada ketinggian 32,000 kaki kepada 10,000 kaki di udara.
Penerbangan tersebut baru sahaja 25 minit berlepas dari lapangan terbang untuk memulakan perjalanan dari Perth ke Bali. Namun tidak lama selepas itu, ia diarahkan berpatah balik atas sebab-sebab teknikal. Suasana cemas itu bermula apabila salah seorang pramugari berlari daripada bahagian hadapan dan mengarahkan penumpang untuk duduk dan tunduk ke bawah.
Para penumpang mula ketakutan dan berpelukan sesama sendiri. Ada yang menjerit, ada yang menangis. Namun menurutnya lagi, sepanjang keadaan cemas itu berlaku – tiada seorang pun anak kapal mahupun juruterbang membuat sebarang pengumuman tentang situasi sebenar yang dihadapi pesawat itu.
Keadaan semakin menjadi panik disebabkan reaksi anak-anak kapal yang kelihatan ketakutan dan cemas. Tambah Norman Pearce pula, para penumpang bertambah takut dan panik apabila ada anak kapal yang menjerit “Emergency. Crash positions!”
Menerusi beberapa video yang lain, para penumpang bukan sekadar menangis dan berpelukan. Mereka juga turut mengucapkan selamat tinggal di antara satu sama lain. Ada juga penumpang yang mula menelefon dan meninggalkan mesej kepada ahli keluarga kerana mereka menjagkakan keadaan akan berubah teruk dan risiko terhempas sangat tinggi.
Walau bagaimanapun, tiada kecederaan yang dilaporkan. Pesawat QZ535 selamat mendarat ke Perth semula. Sejurus itu, Air Asia Indonesia mengeluarkan kenyataan media bahawa para jurutera mereka di Perth akan mengkaji secara terperinci masalah teknikal yang terjadi ini dan akan segera melakukan penyiasatan. Tambah Air Asia Indonesia lagi, mereka memohon maaf atas kejadian ini dan menegaskan bahawa keselamatan penumpang merupakan prioriti utama syarikat penerbangan kos rendah ini.
Inilah antara risiko yang sentiasa merisaukan bila menaiki kapal terbang. Masalah teknikal yang berlaku sebegini benar-benar buatkan penumpang kecut perut. Adakala, terfikir juga kalau lah ajalnya sampai ketika di atas udara, bagaimana keadaan jasad kan. Disebabkan itu, selalu berpesan untuk sentiasa berdoa mudah-mudahan perjalanan pergi dan balik sentiasa selamat dan dalam lindungan-Nya. Kita semua manusia, hanya mampu merancang, yang menentukan tetap Tuhan yang Maha Esa.