Sebagai orang Islam, berpuasa merupakan salah satu daripada rukun Islam iaitu rukun Islam yang ketiga. Ini menunjukkan betapa pentingnya berpuasa bagi umat Islam semasa bulan Ramadan.
Akan tetapi, ada sesetengah keadaan yang membolehkan individu itu berbuka puasa seperti wanita yang datangnya haid ataupun mengandung. Tetapi malangnya, ada juga individu yang sengaja ponteng puasa atas alasan tidak dapat menahan lapar dan dahaga.
Sepanjang Ramadan, banyak kes ponteng puasa yang berjaya diserbu oleh pihak polis dan selalunya individu-individu yang tidak berpuasa ini akan membeli daripada restoran-restoran yang menjual makanan secara rahsia dan makanan tersebut diletakkan di dalam plastik hitam.
Namun, menerusi laporan Harian Metro, pada masa sekarang penjual-penjual makanan yang bersubahat dengan orang yang seringkali ponteng puasa tidak lagi menggunakan plastik hitam sebaliknya menjual makanan dalam plastik berwarna lain bagi membungkus makanan yang dibeli.
Perkara itu didedahkan oleh pegawai agama daerah Kubang Pasu, apabila serbuan dijalankan di 5 lokasi sekitar daerah tersebut. Difahamkan juga ada kedai yang menjual makanan berserta dengan pakej minuman bagi golongan yang tidak berpuasa.
Jadi sebagai umat Islam, kita seharusnya beringat bahawa berpuasa itu merupakan perkara fardhu yang wajib dipatuhi dan tidak sesekali ponteng puasa atas alasan yang tidak munasabah.