Satu perkongsian di media sosial Twitter telah mengundang pelbagai reaksi dan respon daripada netizen apabila individu itu mendakwa pemandu bas RapidKL telah bertindak menutup pintu dan menghiraukan kehadiran penumpang yang sudah berada di depan pintu.
Difahamkan kejadian itu berlaku di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur sekitar jam 3 petang pada hari Sabtu lalu.
Dalam hantaran tersebut, individu itu turut menyertakan sekeping gambar memaparkan seorang lelaki yang sedang duduk termenung melihat bas berlalu pergi.
Perkara tersebut telah membuatkan pengendali akaun Twitter rasmi @AskRapidKL yang bertanyakan info lanjut mengenai kejadian berkenaan.
Namun begitu, tindakan syarikat bas berkenaan itu dikritik warga maya yang mendakwa tiada tindakan sewajarnya dilakukan terhadap sesetengah pemandu bas bawah kendalian mereka yang bersikap kurang ajar.
Sejujurnya, tindakan yang mereka akan buat ialah setakat lapor dan simpan. Paling teruk pun mereka akan tukar pemandu tersebut ke laluan lain.
Sehubungan dengan itu, pihak RapidKL hari ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa mereka akan melancarkan siasatan serta merta untuk mengenal pasti kapten bas terbabit agar tindakan susulan dapat diambil.
Kuala Lumpur, 10 April – Susulan sebuah ciapan di Twitter yang tular di media sosial semalam, Rapid Bus Sdn Bhd, pengoperasi bas henti-henti Rapid KL telah melancarkan siasatan serta-merta untuk mengenalpasti Kapten Bas terbabit agar tindakan susulan dapat diambil.
— Ask Rapid KL (@AskRapidKL) April 10, 2022
RapidKL turut memohon maaf di atas kejadian tersebut dan memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan perkara tersebut tidak akan berulang di masa hadapan.