Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus mengejutkan ramai sebelum ini apabila berniat mahu melelong Kasut Emas miliknya kerana masalah kesempitan wang. Dia telah melakukan sesi lelongan itu menerusi akaun Facebook miliknya dan turut melelong beberapa lagi barangan berharga miliknya.
Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah mengadakan pertemuan dengan bekas pemain ini di pejabatnya. Namun, ada perkara yang kurang enak berlaku apabila video temu bual Khalid bersama wartawan dikongsikan di media sosial.
“Wartawan: Hasil rundingan apa jawatan yang ditawarkan? Ketua jurulatih ke?
Khalid Jamlus: Takkan tukang kebun kot.”
Rata-rata netizen kurang senang melihat cara bekas pemain kebangsaan ini menjawab soalan para wartawan yang dianggap seperti angkuh dan berlagak. Wartawan telah bertanyakan mengenai hasil rundingan yang dilakukan bersama pihak kementerian itu.
Melihatkan cara Khalid Jamlus menjawab soalan wartawan ini seolah-olah dia memberikan sindiran tentang jawatan sebagai seorang tukang kebun. Ada juga yang kurang senang dengan gayanya yang seperti tidak menjawab soalan wartawan dengan profesional.
“Ayat last tuh tak perlu nak berlagak chor. Macam mana nak orang ambik jadi coach kalau attitude tak cantik kat media.”
Sebelum ini, dia menjelaskan sudah mencuba sedaya upaya tetapi kesukaran terus menghimpit apatah lagi selepas dia sudah tidak bekerja selama tiga tahun. Dia pernah menyuarakan hasratnya mahu menjadi jurulatih untuk negeri Perak dan Selangor bagi membantunya meneruskan kehidupan.
Khalis Jamlus turut memberitahu dia masih lagi akan tetap menjual Kasut Emas miliknya itu selepas menerima bidaan mencecah RM50,000 daripada pembeli di Sabah dan Pantai Timur. Sekiranya tiada bidaan lebih baik diterima terutamanya dari Perak dalam minggu ini, bermakna Kasut Emas bekas penjaring terbanyak Liga Perdana 1 tahun 2002 itu akan diterbangkan ke Sabah.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.