Kenaikan harga barang mentah seperti ayam, telur dan minyak masak bermula awal bulan Julai lalu ternyata telah membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin.
Sehubungan itu, orang ramai menggesa agar pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tampil melakukan sesuatu bagi mengatasi isu yang membelenggu rakyat pada ketika ini.
Terbaru,halaman Twitter rasmi kerajaan Keluarga Malaysia baru-baru ini ada menghasilkan video yang menjelaskan sebab dan punca harga minyak masak meningkat dengan mendadak.
Minyak masak menjadi bahan bualan kebelakangan ini akibat kenaikan harga. Nak tahu Kenapa minyak masak naik harga, jom tonton! pic.twitter.com/sPxAgGibdW
— Keluarga Malaysia (@MyKeluargaMsia) July 11, 2022
Dalam video itu, dua orang lelaki dilihat sedang berbual mengenai isu kenaikan harga minyak dan salah seorang daripadanya ada menyentuh soal subsidi yang telah ditarik balik oleh kerajaan pada 30 Jun yang lalu.
Jelas salah seorang daripada lelaki itu, subsidi minyak masak sebenarnya sudah tamat pada Ogos 2021 namun disebabkan oleh wabak COVID-19, ia telah diteruskan sehingga bulan Jun 2022. Berikutan fasa pandemik yang telah pun tamat, subsidi itu tidak lagi diperlukan, ujarnya.
Di akhir video tersebut, seorang lagi pemuda kemudiannya berterima kasih kepada sahabatnya di atas penerangan itu dan berkata akan membeli lebih banyak minyak masak di dalam botol selepas ini.
Video tersebut ternyata telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya mengkritik tahap lakonan dua pemuda itu yang kelihatan kekok dan ‘kayu’.
Kata netizen lagi, mereka tidak memerlukan video penjelasan yang dianggap ‘sia-sia’ tetapi menggesa agar kerajaan campur tangan dalam mengawal harga barang mentah yang kini semakin membebankan rakyat.