Setiap kejayaan anak merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh ibu bapa kerana bagi ibu bapa ia adalah suatu pencapaian yang besar dalam membesarkan anak-anak.
Itulah perasaan seorang bapa apabila anak perempuannya yang berjaya dalam pelajaran kini bakal meneruskan pengajian di sekolah asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Dalam video TikTok yang dikongsikan oleh pengguna yang dikenali sebagai Syafira Eira, bapa Zulkifli Mohamad, 39, memeluk anak perempuannya Damia Syifa, 13, yang berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh.
Namun begitu, apa yang menarik perhatian adalah apabila dalam kegembiraan bapa tersebut, turut terpalit rasa sedih kerana dia tidak pernah berpisah dengan anak perempuannya itu.
Menerusi laporan mStar, dikatakan ayah kepada anak perempuan itu sangat teruja ketika mendapat tahu berita bahawa anaknya dapat melanjutkan pengajian ke sekolah berprestasi tinggi itu sehingga menempah makanan untuk disedekahkan kepada saudara mara, jiran dan rakan di tempat kerja.
Tetapi malangnya, Zulkifli terlibat dalam kemalangan tiga hari sebelum Ramadan semasa hendak pergi ke kerja menyebabkan tulang bahagian paha patah dan menyebabkan dia gelisah jika tidak dapat menghantar anaknya ke MRSM yang dijadualkan pada 11 April.
Lelaki itu juga menyuruh doktor supaya mempercepatkan proses memasukkan besi pada bahagian tulang yang patah tetapi masih lagi tidak dapat menghantar anaknya sendiri ke MRSM membuatkan dia rasa sebak.
Beralih ke ruangan komen di TikTok, rata-rata netizen turut berasa sebak dengan video berkenaan.