Penantian seorang peniaga selama 35 tahun untuk mendapatkan lesen berniaga daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya berakhir.
Tambah beruntung, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menyerahkan sendiri Lesen Penjaja Beredar itu kepada Minah Awang yang turut dikenali sebagai Che Nah di lokasi dia berniaga di Bukit Damansara di sini.
Che Nah berkata sepanjang menjalankan perniagaannya dia beberapa kali telah pergi berurusan dengan pihak DBKL untuk memohon lesen penjaja.
“Malah sudah lima orang Datuk Bandar silih berganti, namun alasan yang dinyatakan adalah permohonan lesen tersebut dibekukan.”
Dia yang berniaga pelbagai jenis juadah seperti nasi dagang, nasi kerabu, nasi lemak dan aneka kuih-muih menyifatkan pemberian lesen itu sebagai satu hadiah yang paling berharga selepas terpaksa menunggu bertahun lamanya.
Dia turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Wilayah itu kerana mempermudahkan urusan pengeluaran lesen tersebut.
Sementara itu, Annuar Musa berkata pihaknya menerusi DBKL akan mempermudahkan proses permohonan penjaja bergerak termasuk perniagaan yang diusahakan golongan belia.
“Saya nak orang muda yang sanggup meniaga, mengambil contoh Che Nah, yang sanggup bawa kereta sendiri, masak, menjual. Kenapa tidak orang lain ambil cabaran ini. Jadikan Kuala Lumpur sebagai tempat ambil rezeki.”
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.