Hartawan Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida menegaskan bahawa dia tidak akan memohon maaf kepada Aishah berhubung menipu mengenai kalung berlian yang dihadiahkan pada penyanyi itu setelah memenangi Gegar Vaganza 2017.
Melalui penelitian dan laporan ahli gematologi, kalung itu didapati palsu dan hanya menggunakan batu nilam sintetik dan kubik zirkonia. Vida mendakwa pendedahan Aishah telah menghancurkan reputasi yang telah dia bina:
Saya tak akan sesekali mohon maaf. Maaf bukan boleh membasuh maruah saya yang sudah tercalar. Perkataan maaf walaupun senang diungkapkan tapi reputasi saya jatuh hancur berkecai.
Adakah dengan memohon maaf itu boleh menggembalikan kepercayaan orang ramai? Saya berbesar hati nak bagi hadiah kalung itu tapi akhirnya kebaikan saya itu memakan diri.
Ia ibarat mahu berjasa tapi nyawa hilang. Kalau ikutkan pemberian ikhlas saya itu tidak sepatutnya dijadikan isu sebenarnya.
Kepada mStar Online, Vida memberitahu permohonan maaf tidak akan menghentikan kutukan orang ramai terhadapnya berhubung kalung itu malah reputasinya juga kini telah hancur.
Gara-gara kalung itu satu Malaysia kutuk saya. Bukan (permohonan) maaf itu satu benda yang boleh mengubah keadaan dan kekeruhan yang berlaku.
Vida masih mempertahankan bahawa barangan kemas itu tulen dan ada sesuatu yang tidak kena jika benar ia didapati palsu.
tu barang kemas tulen. Saya tak tahu kalau ia palsu seperti didakwa Aishah, bermakna ada sesuatu yang tidak kena.
Namun saya berserah kepada Allah dan anggap kontroversi ini sebagai satu hikmah yang diberikan kepada saya.
Vida juga meminta agar Astro selaku penganjur Gegar Vaganza menemukannya dengan Aishah:
Sebenarnya saya nak Astro temukan saya dengan Aishah kerana saya ingin jelaskan hadiah ini ikut suka hati saya nak bagi.
Saya bukan ada kedai jual berlian, saya jual emas. Patut dulu saya bagi bagi emas promote produk saya. Tapi saya berbesar hati beri rantai tersebut dan tak sangka begini pula jadinya.
Mengikut laporan akhbar selepas finale Gegar Vaganza 4 berlangsung, kalung itu pemberian Vida dan ditaja oleh kedai emas miliknya, DSV Gold & Jewelry.
Vida juga didapati pernah membuat pengumuman kemenangan Aishah menerima RM 80,000 dalam bentuk barang kemas itu melalui satu rakaman sidang akhbar.
Sebelum ini, Aishah mendakwa barangan kemas yang diberi oleh Vida bersempena kemenangannya dalam Gegar Vaganza 4 sebagai palsu.
Disebabkan dakwaannya dipertikaikan, Aishah kemudiannya memuat naik bukti di Instagram bahawa ia palsu berdasarkan laporan bercop mohor dari pakar batu permata bertauliah. – beautifulnara.com