Hartawan terkemuka, Bill Gates telah membiayai pengeluaran tujuh vaksin yang dilihat mempunyai harapan paling cerah untuk berjaya ketika beliau menumpukan kerja amalnya kepada COVID-19. Beliau sememangnya terkenal dengan kerja amal yang dilakukan menerusi yayasan Bill & Melinda Gates Foundation miliknya.
Di dalam satu temu bual bersama program TV ‘Fareed Zakaria GPS’ di CNN baru-baru ini, beliau memberitahu sekiranya segalanya berjalan dengan lancar mereka akan membuat pengeluaran berskala besar dalam tempoh setahun ini.
Sebelum ini beliau dilaporkan bersedia untuk melabur sebanyak $250 juta (RM1.09 bilion) untuk penghasilan vaksin bagi wabak COVID-19.
Walaupun dijanjikan dalam tempoh 12 bulan ini, Bill Gates tidak menolak kemungkinan ianya boleh mencecah selama dua tahun sekiranya perlukan masa yang lebih. Beliau yang merupakan antara individu terkaya di dunia itu mengatakan pengeluaran vaksin mungkin tidak dapat bermula pada September, seperti yang diperkatakan oleh beberapa pihak.
“Dr Fauci dan saya konsisten untuk mengatakan bahawa 18 bulan (tempoh untuk menghasilkan vaksin), supaya tidak mewujudkan harapan yang terlalu tinggi.”
Untuk makluman, Anthony Fauci merupakan pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional dan anggota pasukan petugas coronavirus Rumah Putih. Di Amerika Syarikat, ketersediaan ujian untuk coronavirus telah menjadi masalah selama berbulan-bulan lamanya.
Bill Gates sebelum ini pernah menggemparkan ramai apabila mendedahkan mengenai kehadiran wabak ini seawal tahun 2015 lagi. Pada tahun 2015, beliau menjangkakan kehadiran pandemik ini berdasarkan kepada kitaran setiap 100 tahun sekali dimana dunia turut diserang dengan pandemik pada tahun 1820 dan 1920.
Artikel berkaitan: Wabak COVID-19 Diramalkan Berakhir Menurut Kajian Universiti Di Singapura