Baru-baru ini, negara digemparkan dengan berita pembunuhan seorang wanita dipercayai dilakukan oleh suaminya sendiri.
Bersimpati dengan nasib yang menimpa anak-anak, Ustazah Asma’ Harun telah membuat lawatan ke rumah keluarga arwah di Hulu Tiram, Johor Bahru.
Menurut Ustazah Asma’, sebaik tiba di rumah, keluarga tidak putus mengucapkan terima kasih di atas perkongsiannya tempoh hari.
Kata mereka, tulisan tersebut sedikit sebanyak telah menjernihkan keadaan berikutan terlalu banyak ‘rumours’ tidak benar selepas kehilangannya.
“SubhanAllah, daripada si adik (Nor), saya dapat mendengar kisah kebaikan dan ketaatan seorang wanita yang cuba sedaya upaya menjadi isteri yang baik buat seorang suami.
Dan akhirnya tangan suaminya juga yang menghantarkannya ke Syurga (ameen). Semoga si suami bertaubat nasuha dan diterima taubatnya oleh Allah swt.”
Ustazah Asma’ walau bagaimanapun tidak dapat berkongsi secara terperinci apa yang diceritakan adik arwah berikutan kes masih di dalam siasatan polis.
Mengenai anak-anak arwah pula, mereka seakan mengerti apa yang telah berlaku.
“Tidak memberontak mencari bonda (panggilan pada arwah), sudah mula menyebut bahawa bonda di Syurga.
Saya yakin, Allah swt telah memudahkan segalanya buat anak-anak ini dan Nor yang menggantikan ibunya sementara waktu.”
Kongsi Ustazah Asma’ lagi, dia dapat merasakan anak-anak dididik dengan baik apabila si abang meminta dengan ibu saudara untuk mengaji al-Quran seperti kebiasaan ibunya lakukan.
Difahamkan, keluarga sendiri tidak tahu apa yang berlaku di antara kakak dan abang ipar kerana arwah sangat menjaga aib keluarga. Malah, keluarga sedikitpun tidak menyebut keburukan abang ipar.