Satu klip video lama melibatkan Wadi Anwar kembali tular di media sosial apabila beliau dilihat menegur isu pengurusan kewangan berkaitan MADAD (Murtadha Dakwah Center) secara berhemah dan tertutup bersama Yaakub Yusra.
Menerusi klip tersebut, Ustaz Wadi mempersoalkan pengurusan dana pembangunan masjid yang dilaporkan mencecah RM7 juta, namun kira-kira RM4 juta telah dibelanjakan tanpa hasil pembangunan yang jelas dapat dilihat di tapak masjid berkenaan.
Beliau menyatakan bahawa walaupun bukan pakar, dengan pemerhatian biasa sekalipun terdapat perkara yang dilihat tidak kena dan menimbulkan persoalan ke mana perginya wang tersebut. Ustaz Wadi turut meluahkan kesedihan terhadap situasi itu, apatah lagi mengenangkan arwah Murtadha Yusof, pengasas MADAD yang meninggal dunia pada 2018.
Dalam perbincangan itu, Ustaz Wadi menegaskan kepentingan melantik individu berlatarbelakangkan perakaunan serta menjalankan audit bagi memastikan dana awam diurus secara telus dan beramanah.
Menurut beliau, pengurusan kewangan perlu dikawal dengan sistem yang jelas kerana wang boleh menguji sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang, termasuk golongan agamawan.
Untuk rekod, MADAD merupakan singkatan kepada Murtadha Dakwah Center, sebuah institusi Islamik yang terletak di Sungai Petani dan diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Murtadha Yusof. Institusi tersebut pernah dipuji ramai kerana kejayaannya membangunkan pelbagai inisiatif termasuk program pembangunan ummah, hotel, restoran serta kemudahan komuniti lain, sekali gus menjadi kebanggaan masyarakat setempat.

Selepas pemergian pengasasnya, pengurusan MADAD diteruskan oleh adik-beradik beliau, termasuk Ustaz Yaakub Yusra. Namun kebelakangan ini, timbul persoalan dan dakwaan berkaitan pengurusan dana sendiri serta dana awam yang melibatkan jumlah jutaan ringgit, dengan isu ketiadaan audit turut diperkatakan.
Setakat ini, perkara tersebut masih dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat kesimpulan awal. Ramai pihak turut mengingatkan agar masyarakat mendoakan yang terbaik serta menunggu hasil siasatan rasmi.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
